Anwar kata tak senang untuk hidup gaya mewah macam Najib tidur dalam penjara

Bekas Perdana Menteri, Najib Razak akan menghadapi masa yang sukar untuk menjalani hukuman penjara, kata ketua pembangkang, Anwar Ibrahim, yang mempunyai pengalaman hampir sedekad dipenjarakan.

Presiden PKR itu percaya Najib mungkin mendapat layanan dan kemudahan yang lebih baik berbanding apa yang diterimanya sepanjang dua kali pemenjaraan.

Namun kata Anwar, ia masih tidak memadai memandangkan gaya hidup mewah Najib sebelum ini.

“Saya rasa Najib… daripada apa yang saya faham daripada rakan pegawai penjara saya yang lama, Najib akan diberi layanan yang lebih baik dalam erti kata (beliau) akan diberikan beberapa kemudahan.

“Tetapi tetap, penjara bukanlah tempat tidur yang selesa.

“Ia adalah sukar, terutamanya jika dibandingkan dengan gaya hidupnya sekarang dari hotel 7 bintang untuk mengalami sesuatu yang sangat sukar dan sulit,” kata Anwar dalam temu bual dengan CNBC ketika diminta mengulas mengenai hukuman penjara terhadap Najib.

Anwar, yang merupakan bekas timbalan perdana menteri, menghabiskan hampir enam tahun di penjara selepas disabitkan empat kesalahan berkaitan rasuah pada 1999, iaitu semasa era pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.

Pada 2015, Anwar dipenjarakan sekali lagi, kali ini semasa pentadbiran Najib, selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Dia dibebaskan pada 2018 selepas menerima pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Mengimbas kembali pengalamannya, ahli parlimen Port Dickson itu berkata penggal pertamanya semasa era Mahathir adalah “lebih sukar”, termasuk telah dinafikan sebarang akses kepada buku dan lawatan keluarga pada peringkat awal pemenjaraannya.

“Malah ketika (Pentadbiran) Najib, saya telah dihumban ke dalam lokap biasa sambil tidur berminggu-minggu di atas lantai, tanpa mengambil kira masalah tulang belakangsaya atau umur saya,” katanya.

Pada Selasa lalu, Najib, yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri keenam dari 2009 hingga 2018, dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan berhubung tujuh pertuduhan yang dikaitkan dengan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Dalam keputusan sebulat suara, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

One thought on “Anwar kata tak senang untuk hidup gaya mewah macam Najib tidur dalam penjara

Leave a Reply

Your email address will not be published.