Buat jemaah haji terkandas, UC Travel geram orang ramai panggilnya ‘scammer’. Wakil syarikat pelancongan UC Travel tampil mohon maaf atas insiden ratusan bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Merujuk laporan, wakil syarikat tersebut menyatakan permohonan maaf sedemikian kepada pemberita menerusi perbualan di aplikasi WhatsApp.
“Jutaan maaf dari pihak kami UC Travel. Kami sudah sedaya-upaya berusaha untuk terbangkan jemaah, tetapi kami tidak berjaya.
“Maka pihak kami akan membuat pemulangan wang kepada jemaah yang terlibat. Saya juga terkesan bila orang panggil kami scammer.
“Hakikatnya, kami di UC Travel sangat berusaha untuk terbangkan jemaah,” katanya ringkas kepada pemberita, menurut laporan AWANI.
Dalam pada itu, sebarang kenyataan selanjutnya akan dikeluarkan kemudian selepas perbincangan bersama peguam pihak mereka.
“Saya akan bincang dengan peguam saya dahulu. Kerana bukan kami sahaja yang gagal, ramai lagi agensi pelancongan gagal.
“Tetapi kami terkedepan kerana kami bawa jemaah ke lapangan terbang, kami memang mencuba sedaya upaya.
“Untuk ketika ini, semua group UC Travel sedang menjawab semua (persoalan) berkaitan jemaah kami,” katanya lagi,
Difahamkan, pihak syarikat pelancongan tersebut dilapor akan mengadakan satu sidang media bagi memberi penjelasan tentang kejadian semalam.
Menurutnya, sidang media tersebut akan dijalankan pada minggu hadapan.
Sementara itu, menurut AWANI lagi, sebanyak 17 laporan polis sudah dibuat oleh mereka yang terjejas di sekitar Lembah Klang.
Dalam masa sama, siasatan oleh pihak polis turut dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di bawah Seksyen 8 (1) (d) Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].
Merujuk laporan terdahulu, kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA sejak pagi semalam dipercayai menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan.
Difahamkan, mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).
Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH.
Menurut seorang jemaah yang hanya mahu dikenali sebagai Adi, agensi pelancongan itu telah meminta semua jemaah di bawah kendaliannya untuk datang ke KLIA semalam.
Tetapi oleh kerana penerbangan mereka dijangka berlepas pada pukul 4.30 petang (semalam), namun kemudiannya dimaklumkan telah ditangguh ke pukul 7 malam.
“Semakan kami mendapati penerbangan terakhir ke Jeddah, Arab Saudi adalah pada kira-kira 6 petang tadi (semalam) dan sehingga saat ini kami tidak dimaklumkan apa-apa oleh wakil agensi pelancongan,” katanya, mengimbas kembali laporan itu.
BACA:
Laju netizen buat kerja, lelaki ini dedah siapa pemilik syarikat urus jemaah haji terkandas di KLIA
400 jemaah haji Malaysia kena ‘scam’ di malam jumaat, terkandas di KLIA saat akhir
Usahawan ini dedah gaji sebenar tukang cuci Masjidil Haram, tak sangka..