DG Hisyam jelas keadaan terkini penyakit Najib Razak

Keputusan sebulat suara dibuat pakar perunding yang mengambil peranan dalam pemeriksaan dan ujian bekas perdana menteri Najib Razak sebelum beliau dibenarkan didiscaj Jumaat lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, Najib dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) Jumaat lalu sebagai kes elektif (bukan kecemasan) untuk memastikan kesihatannya berada pada tahap baik dan optimum.

Dakwaan Najib tinggal dalam rumah pegawai penjara, akhirnya Jabatan Penjara bersuara

“Pihak HKL juga telah mengadakan sidang keluarga (family conference) sebanyak dua kali yang telah dihadiri oleh bekas perdana menteri dan ahli keluarga beliau. Keputusan ujian telah dimaklumkan semasa sidang ini mengikut amalan profesional kedoktoran.

“Mereka juga telah dimaklumkan mengenai keputusan sebulat suara pakar perunding agar beliau dibenarkan untuk didiscaj daripada HKL,” katanya dalam kenyataan.

Hisham juga menekankan jenis ubat yang dipreskrib semasa kemasukan wad adalah yang sama jenisnya dan dalam senarai ubatan KKM.

“Keadaan beliau juga sihat sebelum dibenarkan discaj daripada HKL.

“KKM sentiasa komited dan telus dalam pemberian perkhidmatan kesihatan kepada mana-mana individu, namun pada masa yang sama mempunyai tanggungjawab mematuhi tataetika kerahsiaan pesakit di bawah Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012),” tambahnya.

Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke dalam akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Ketika prosiding pagi ini, Pendakwa Ad Hoc Gopal Sri Ram berkata, kesihatan Najib “agak teruk” disebabkan kesan buruk daripada perubahan dalam ubat hipertensi, dan telah meminta perbicaraan setengah hari kerana Najib perlu dibawa ke Hospital Kajang, pada 2 petang.

Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah membenarkan permintaan pihak pendakwaan.

Keluarga Najib Razak meminta kerajaan membenarkan bekas perdana menteri itu diberikan rawatan perubatan sewajarnya selepas mengalami masalah ulser dalam perut, baru-baru ini.

Pegawai khas Najib, Mukhlis Maghrib berkata, Najib pernah dimasukkan ke hospital termasuk dimasukkan ke unit rawatan rapi sebelum ini berhubung masalah sama.

Beliau mendakwa doktor di HKL membuat biopsi yang menemukan pendarahan berlaku dengan beberapa ulser terpaksa dipotong untuk menghentikan pendarahan, namun permohonan Najib untuk melakukan pemerhatian dinafikan dengan doktor membenarkannya keluar (discaj)

Mukhlis juga mendakwa ubat-ubatan Najib ditukar daripada ubat biasa yang diambilnya selama bertahun-tahun, sekali gus menyebabkan tekanan darahnya meningkat.

TERKINI: Sultan Selangor tarik darjah kebesaran Najib dan Rosmah