‘Ditendang’ dari Rembau, KJ bertanding di Tampin. Penyandang kerusi Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin kemungkinan diletakkan bertanding di kerusi Parlimen Tampin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Sumber jawatankuasa UMNO Bahagian Rembau memberitahu BH, bahawa kerusi Parlimen Tampin dilihat lebih sesuai untuk Khairy yang juga Menteri Kesihatan dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau.
Katanya, kedudukan Tampin yang tidak jauh daripada Rembau selain ramai kalangan pengundi di Tampin sudah mengenali Khairy, malah terdapat juga kalangan mereka yang mempunyai hubungan rapat atau kekeluargaan dengan keluarga Khairy.
“Perkara ini pernah dibincangkan secara tidak rasmi kalangan beberapa ahli jawatankuasa UMNO Rembau dalam beberapa pertemuan sebelum ini, tambahan pula selepas ura-ura Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) hendak bertanding kerusi Parlimen.
“Saya menjangkakan ada kemungkinan besar Khairy akan diletakkan bertanding di kerusi Parlimen Tampin pada pilihan raya akan datang.
“Kerusi itu mungkin dilihat lebih sesuai berbanding di tempat lain (Seremban dan sebagainya), bagaimanapun semuanya itu belum muktamad kerana keputusan muktamad terletak kepada pucuk pimpinan tertinggi parti,” katanya ketika ditemui.
Ketika ini kerusi Parlimen Tampin disandang Datuk Dr Hasan Bahrom daripada parti AMANAH selepas menang dengan menewaskan calon BN, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor dengan majoriti 1002 pada PRU-14.
Sebelum ini, media melaporkan mengenai laporan bahawa Khairy tidak akan bertanding di Parlimen Rembau pada PRU-15 kerana terpaksa memberi laluan kepada Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, untuk bertanding di kerusi berkenaan.
Khairy mengakui terpaksa akur dengan arahan itu walaupun tidak pernah bersedia untuk bertanding di mana-mana kawasan Parlimen lain, memandangkan sudah lebih 20 tahun berpolitik dan memberi khidmat di Rembau.
Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, percaya kepemimpinan tertinggi parti itu akan meletakkan Khairy bertanding di kerusi yang sesuai dan tepat.
Malah, Mohd Zaidy juga yakin parti tidak akan mengetepikan Khairy kerana bekas Ketua Pemuda itu adalah aset UMNO.
Selain itu, terdapat beberapa kerusi Parlimen di Negeri Sembilan yang sebelum ini dimenangi UMNO/BN tewas kepada pihak lawan pada PRU-14 iaitu Tampin dan Kuala Pilah serta kerusi milik BN menerusi calon MIC iaitu Port Dickson, yang perlu dirampas semula pada pilihan raya akan datang.
baca: Kini Rolls-Royce Sultan Brunei jadi kereta paling mahal dunia, kalahkan Ratu Elizabeth
Shahidan ‘belasah’ Lokman Adam, jijik nak sebut nama