Duda maut jatuh dari ampaian lepas kantoi berkhalwat dengan isteri orang. Tindakan seorang lelaki berpaut pada seutas dawai ampaian semasa cuba melarikan diri selepas suami kekasihnya pulang ke rumah menerima padah apabila terjatuh dari tingkat empat pangsapuri di Jasin.
Kejadian pagi tadi berlaku apabila lelaki tersebut terkejut selepas suami kekasihnya pulang ke rumah di sebuah pangsapuri di Bemban dan menyebabkan mangsa berusia 46 tahun itu panik, menurut laporan Harian Metro.
Lelaki tersebut bermalam di rumah kekasihnya itu selepas suaminya keluar malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, saksi iaitu kekasih si mati berusia 37 tahun yang tinggal bersama tiga anak mendakwa lelaki itu bersamanya semalaman.
Katanya, sekitar jam 10.30 pagi semasa pasangan itu berada di ruang tamu, tiba-tiba suami saksi pulang ke rumah dan menyedari kehadiran si mati.
“Suami saksi bertindak mengunci pintu jeriji hadapan rumah menyebabkan pasangan itu terperangkap dan menghubungi polis.
“Walaupun saksi meminta berunding dengan suaminya, namun lelaki itu yang juga peniaga nekad melarikan diri dengan mengikat seutas dawai ampaian di besi palang di bahagian koridor untuk berpaut turun.
“Wanita itu yang berada di ruang tamu hanya melihat si mati dari jauh sebelum terdengar bunyi dentuman di luar koridor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mispani berkata, sebaik melihat ke bawah wanita itu mendapati lelaki berkenaan tertiarap di atas tanah dan tidak bergerak.
“Pemeriksaan fizikal dilakukan ke atas mayat si mati yang lengkap berpakaian itu mendapati terdapat kesan tanah dan darah di bahagian muka dipercayai dia jatuh tersembam selain lengan kirinya juga patah,” katanya.
Mengulas lanjut kata, saksi memberitahu mereka berkenalan pada 2005, namun berpisah dan masing-masing mendirikan rumah tangga.
“Pada 2017 si mati bercerai dengan isterinya sebelum mencari semula saksi untuk menjalin semula hubungan walaupun mengetahui wanita itu sudah berkahwin.
“Mereka menjalinkan hubungan secara sembunyi tanpa pengetahuan suami saksi,” katanya.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.
Tambahnya, kes kini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
BACA JUGA :
Pakcik ni cerita pengalaman perjalanan haji tahun 1924, naik unta nak ke Makkah
Tentera jumpa emas bernilai RM74 billion dalam kapal yang karam 300 tahun dahulu
Ini kronologi pembunuhan CEO Cradle Fund yang ramai tak tahu