Ganggu rumah tangga Syamsul Yusof, Jawi panggil Ira Kazar

Wanita yang didakwa mengganggu rumah tangga pelakon, Puteri Sarah dan suaminya juga pengarah Syamsul Yusof iaitu Ira Kazar dipanggil ke pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), di sini, hari ini.

Difahamkan, ia bagi membantu siasatan berhubung tindakan saman yang difailkan Puteri Sarah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di pejabat agama terhadap wanita itu, baru-baru ini.

Menurut sumber Harian Metro, kehadiran Ira yang juga anak kepada pelakon veteran, Kazar itu turut ditemani keluarganya.

Pihak Jawi ketika dihubungi Harian Metro bagi mengesahkan perkara itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Terdahulu, Puteri Sarah, 37, memfailkan satu tindakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di pejabat agama terhadap Ira yang didakwa kekasih kepada suaminya.

Puteri Sarah ketika ditemui di perkarangan pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata, selepas hampir empat tahun menahan sabar dan menanggung derita, dia akhirnya bertekad untuk mengambil tindakan undang-undang.

Menurutnya, tujuan dia membuat tindakan itu adalah untuk mempertahankan maruahnya yang sudah tercalar dan sekian lama didiamkan selain menuntut keadilan dan memperjuangkan haknya sebagai wanita teraniaya.

Sebelum ini, rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah didakwa dilanda masalah disebabkan kehadiran orang ketiga.

Puteri Sarah juga mengakui sudah tidak tinggal sebumbung dengan Syamsul, malah mendakwa suaminya tahu kenapa dirinya bersikap ‘dingin’.

Syamsul juga dilaporkan mengaku tidak tinggal sebumbung, tetapi tidak bermaksud mahu berpisah.

Mereka berkahwin 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah, 3.

Leave a Reply

Your email address will not be published.