Ini fakta tentang varian China wajib anda tahu, ‘banyak negara dah sekat pelancong’. Apabila China mengurangkan sekatan di tengah-tengah peningkatan kes Covid-19, pakar bimbang sama ada BF.7 – varian yang dominan di negara tembok besar itu – boleh membawa masalah baharu kepada dunia.
Subvarian BF.7, yang berasal daripada varian BA.5, kali pertama dikesan di dunia pada Julai 2022, sangat mahir dalam mengelak imuniti dan dipercayai memacu lonjakan semasa China, sekali gus mendorong banyak negara, termasuk Malaysia, untuk memeriksa suhu badan pelancong yang memasuki pintu sempadan masing-masing.
Walaupun penambahan kes di China dikaitkan dengan BF.7, ia tidak menyebabkan lonjakan di negara lain seperti Amerika Syarikat (AS), Denmark, Jerman, Perancis dan India.
“Apa yang saya bimbang, secara jujur, adalah – dengan lonjakan besar kes di China – potensi untuk varian baharu berkembang dalam konteks itu yang mungkin lebih tahan terhadap rawatan semasa dan imuniti. Dan itu boleh tersebar di seluruh dunia,” kata Dr David Hamer dari Pusat Perubatan Boston. “Tetapi, anda tahu, masa akan menentukan.”
Menurut covSpectrum.org, laman web khusus untuk membantu saintis menyiasat dan mengenal pasti varian Covid-19, BF.7 turut dikesan di Malaysia pada Ogos dan September tahun ini melibatkan Selangor, Pahang dan Melaka.
Gejalanya serupa dengan varian lain seperti hidung berair, batuk dan cirit-birit.
Laporan dari China menunjukkan, subvarian itu mempunyai kadar penularan yang sangat tinggi, dengan kebolehjangkitan asas (R0) lebih daripada 10.
Purata R0 bagi varian Omicron lain adalah sekitar lima. Semakin tinggi angka R0, semakin tinggi kebolehjangkitannya.
Memetik FMT, pakar virologi Universiti Sains Malaysia, Dr Kumitaa Theva Das, bagaimanapun berkata, R0 tinggi BF.7 di China mungkin disebabkan oleh tahap imuniti yang lebih rendah di negara itu.
“Berdasarkan bukti semasa, tiada tanda peningkatan keterukan (penyakit) yang dikaitkan dengan BF.7 jika dibandingkan dengan varian lain,” katanya.
Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak meletakkan subvarian Omicron itu di bawah pemantauan. – AG
Sekumpulan angkasawan mungkin terpaksa ditinggalkan selepas terkandas di angkasa lepas
‘Ingatkan kangkung, rupanya ganja’ – Ini yang jadi kepada gadis ini lepas tersalah makan
‘Lepas 7 tahun baru berfungsi kad nikah saya’ – Wanita cerita kena gempur pencegah maksiat di hotel