Seorang menteri persekutuan menafikan bahawa wanita yang dinamakan sebagai pemilik dua syarikat yang didakwa menyeleweng dana untuk projek kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion adalah isterinya.
Abd Latiff Ahmad berkata Zainab Mohd Salleh bukanlah isterinya seperti yang didakwa.
Awal hari ini, timbalan presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa “isteri” Latiff dilantik sebagai perunding teknikal dan pembekal alat ganti dan menghantar invois untuk kerja yang tidak pernah dilakukan.
Sebentar radi, Rafizi mendakwa antara tokoh penting di belakang syarikat yang terlibat dengan projek LCS adalah isteri kepada Timbalan Menteri Pertahanan ketika Datuk Seri Zahid Hamidi menjadi menterinya.
Zainab Mohd Salleh ialah isteri kedua kepada Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri sekarang.
Semasa skandal ini berlaku, beliau yang juga Ahli Parlimen Mersing merupakan pemimpin Umno sebelum menyertai Bersatu selepas PRU2018.
Beliau adalah Timbalan Menteri Pertahanan bagi tempoh 2008 hingga 2013. Menteri Pertahanan ketika ini ialah Datuk Seri Zahid Hamidi, Presiden Umno sekarang, kata Rafizi.
“Semakan saya menunjukkan bahawa skim menyeleweng dana awam dari projek LCS ini dibuat selama bertahun-tahun dan dengan penuh perancangan.
“Saya juga boleh mengesahkan bahawa ada pelbagai bentuk kontrak pertahanan lain yang melibatkan Latiff Ahmad dan LCS bukan satu-satunya projek yang melibatkan syarikat-syarikat berkait dengan beliau,” dakwa Rafizi.