Rafizi Ramli mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Abd Latiff Ahmad mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau sekiranya pendedahan projek kapal tempur pesisir (LCS) dibuatnya tidak benar.
Rafizi berkata, tindakan saman serta-merta juga perlu dibuat menteri Bersatu itu terhadap syarikat dan juruaudit yang terbabit untuk menyiasat projek LCS jika laporan itu tidak tepat.
Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) adalah syarikat yang mengeluarkan laporan audit forensik projek kapal tempur pesisir (LCS), manakala Alliance IFA (M) Sdn Bhd adalah juruaudit dilantik BHIC untuk menyiasat projek LCS.
“Jika Latiff tidak ada kaitan dengan Zainab Mohd Salleh dan dia (atau keluarganya) tidak terlibat dengan kontrak-kontrak projek LCS atau pertahanan laut negara, beliau perlu mengambil tindakan saman dengan serta-merta,” katanya di Facebook.
Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan berkata, tindakan penafian di media sosial bermakna Latiff menuduh Alliance IFA sebagai “penipu”, walaupun laporan itu menamakan Zainab sebagai isteri beliau dan pembabitannya dalam kontrak projek LCS.
Terdahulu, Latiff yang juga bekas timbalan menteri pertahanan menafikan beliau mempunyai isteri bernama Zainab Salleh, individu yang dikaitkan dalam siasatan projek LCS.
“Isteri atau isteri-isteri saya tiada yang bernama Zainab binti Salleh,” tegasnya di Facebook.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Mersing berkata, tiada ahli keluarganya yang terlibat dalam perniagaan melibatkan pembekalan atau pembinaan kapal LCS itu.
Pada Isnin lalu, Latiff menafikan wanita yang dikaitkan dalam siasatan projek LCS adalah isterinya malah bersedia memberikan kerjasama penuh dengan siasatan pihak berkuasa terhadap isu itu selepas Rafizi mendedahkan laporan yang mengaitkan beliau dengan skandal berkenaan.
Rafizi mendakwa syarikat palsu yang menjadi syarikat pembekal alat ganti kepada projek pembinaan LCS adalah milik keluarga Latiff.
Rafizi juga mendakwa, beberapa bukti penglibatan Latiff melalui Zainab, iaitu individu dipercayai isterinya dan syarikat, Alizes Marine Limited boleh dilihat melalui laporan forensik projek LCS yang dinyahwarta pada Isnin.
Katanya, menerusi laporan audit tersebut, syarikat pembekal itu dimiliki Zainab, yang merupakan isteri kepada Latiff.
Beliau juga mendakwa siasatan dalaman LCS juga mengesahkan dua syarikat palsu menggunakan nama Alizes Marine sudah didaftarkan dengan nama Alizes Marine Limited berdaftar di Malta dan sebuah lagi syarikat, Alizes Marine Labuan didaftarkan di Labuan.
Katanya, individu tersebut, yang dilantik sebagai perunding teknikal dan pembekal alat ganti, menghantar invois bagi kerja-kerja yang tidak dilaksanakannya. Akibatnya, sebanyak RM243 juta diseleweng.