Kajian dedah individu gagal berdiri sebelah kaki selama 10 saat berisiko mati dalam 10 tahun

Satu kajian mendapati bahawa individu pertengahan umur yang tidak boleh berdiri dengan sebelah kaki selama sekurang-kurangnya 10 saat akan berisiko tinggi untuk mati dalam tempoh sedekad lagi.

Memetik laporan NDTV, kajian yang diterbitkan dalam British Journal of Sports Medicine itu melibatkan beberapa orang sukarelawan.

Berdasarkan beberapa pembolehubah seperti umur dan penyakit, penyelidik mendapati bahawa mereka yang bergelut dengan ujian pengimbangan mudah adalah 84% lebih berkemungkinan mati dalam tempoh 10 tahun akan datang berbanding mereka yang boleh berdiri tanpa sokongan.

Difahamkan kajian itu telah bermula pada tahun 2009 yang melibatkan kajian mengenai kecergasan dan kesihatan dalam kalangan 1,702 orang responden yang berumur lebih 50 tahun di Brazil.

Mereka diminta untuk mengangkat sebelah kaki dan meletakkannya di belakang kaki bawah bertentangan, tanpa menyentuh tanah sambil meletakkan tangan di sisi dan memandang ke hadapan.

Dibenarkan sebanyak tiga kali percubaan, satu daripada lima responden didapati gagal dalam ujian tersebut. Mereka kebiasaannya merupakan golongan yang lebih tua atau berada dalam keadaan yang kurang sihat.

“Ujian ini sangat selamat, diterima dengan baik oleh peserta,” kata para penyelidik.

Setiap individu cenderung untuk mengekalkan keupayaan keseimbangan mereka hingga mencapai usia 60-an.

Menerusi kajian itu, perkadaran kematian dalam kalangan orang yang gagal ujian adalah lebih tinggi iaitu 17.5% berbanding mereka yang lulus dengan 4.5%.

Pun begitu, para penyelidik tidak menemui peningkatan risiko sebarang punca kematian tertentu yang terikat dengan keseimbangan.

Untuk pengetahuan, lebih daripada 680,000 orang mati setiap tahun akibat kejatuhan di seluruh dunia.

Justeru ujian 10 saat itu boleh digunakan untuk membantu mengenal pasti mereka yang mungkin terdedah kepada permasalahan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.