“Kalau berani tekan butang sekarang!”, Asyraf Wajdi bagi amaran kepada Muhyiddin

Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin yang membidas pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana didakwa gagal bertindak secara komprehensif terhadap beberapa isu ekonomi mengundang sengketa baru dua parti ini.

Pagi ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mencabar Muhyiddin supaya mengarahkan Ahli Parlimen PN dalam kerajaan supaya menarik sokongan kepada Perdana Menteri.

“Jika Muhyiddin meyakini kerajaan hari ini gagal urus ekonomi dan perlu adakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, maka jangan hanya menyalak dan menggertak, buktikan dengan tindakan sebagai anak jantan untuk segera arah anak-anak buah Tan Sri dalam Kerajaan untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri. Kalau berani tekan butang sekarang,” katanya menerusi Facebook.

Muhyiddin dalam kenyataan semalam menyarankan Ismail Sabri membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU ke-15 (PRU15), jika gagal menguruskan ekonomi dan negara dengan baik.

Hubungan antara Ismail Sabri dan Muhyiddin dilihat mula renggang kebelakangan ini, selepas beberapa hal yang dibangkitkan PN khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak mendapat layanan sewajarnya Perdana Menteri.

Ini termasuk gesaan BERSATU supaya melantik seorang Timbalan Perdana Menteri, namun ditolak Ismail Sabri disamping permohonan gabungan parti itu untuk mengadakan perjumpaan rasmi, namun seakan tidak dituruti Perdana Menteri.

Isu lain, berkait keengganan Ismail Sabri melayan gesaan BERSATU supaya kuota dalam Kabinet dikembalikan, susulan pengumuman Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Mengulas lanjut, Asyraf menjelaskan keadaan ekonomi hari ini jauh lebih baik daripada waktu beliau buat ‘Lock Down’ separa masak paling lama dan menggantung Parlimen sewenangnya beberapa bulan.

“Jadi siapa sebenarnya yang gagal urus ekonomi? Siapa Menteri Kanan Ekonomi merangkap Menteri MITI? Siapa Menteri Perancang Ekonomi (EPU)? Dan siapa Pengerusi Majlis Pemulihan Ekonomi? Bukankah semuanya termasuk Tan Sri daripada parti BUNGA? Sekali lagi siapakah yang sebenarnya gagal?

“Apakah selepas Tengku (Datuk Seri) Zafrul (Abdul Aziz) isytihar menyertai Barisan Nasional (BN), maka Menteri Kewangan lantikan Tan Sri bahkan disyaratkan oleh Tan Sri sendiri untuk dikekalkan sebagai Menteri Kewangan zaman Ismail Sabri terus diisytiharkan gagal juga?” katanya.

Zafrul sebelum ini mengumumkan dirinya sudah menjadi ahli UMNO sejak sekian lama selain menerima tawaran BN Selangor yang melantiknya sebagai Bendahari BN Selangor.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Senator Datuk Armand Azha Abu Hanifah, berkata Muhyiddin jelas tidak menyedari jika dakwaannya bahawa pengurusan ekonomi negara gagal ketika ini, ia juga masalah dari pemimpinnya sendiri.

“Beliau lupa BERSATU juga sebahagian kerajaan. Apabila menteri ekonomi (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) juga dari parti beliau. Tok Pa (Datuk Seri Mustapha Mohamad) dan (Datuk Seri Mohamaed) Azmin Ali. Tan Sri juga Pengerusi MPN yang sepatutnya memberi nasihat kepada kerajaan. Adakah beliau juga gagal.

“Sebelum keluar kenyataan, baik Tan Sri tengok-tengok dulu dua menteri yang diberi tanggungjawab mengurus ekonomi, yang sebenarnya dari BERSATU. Ini belum bagaimana kita mahu mengurus hubungan baik dua negara, dimana salah seorang menteri bertanggungjawab juga daripada BERSATU. Lihat apa berlaku di Dubai (Emeriah Arab Bersatu). Lihatlah kelemahan parti anda bila diberi mandat dan peluang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.