Kenapa rakyat Kedah suka Sanusi? Ini jawapannya…

Kenapa rakyat Kedah suka Sanusi? Ini jawapannya...

Kenapa rakyat Kedah suka Sanusi? Ini jawapannya…. Sekumpulan pemuda penghantar makanan yang menunggu pesanan pelanggan di luar pusat membeli belah di tengah-tengah bandar Alor Setar, Kedah lantas ketawa ketika diajukan satu soalan;

“Seronok tak, ada menteri besar terkenal di media sosial kerana kaki troll dan suka buat lawak?”

Muhammad Sanusi Md Nor dinamakan sebagai menteri besar negeri Kedah yang ke-14 bagi menggantikan Mukhriz Mahathir selepas hilang kepercayaan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Mei 2020, dua tahun lalu.

Sejak itu, Sanusi seringkali mendapat tumpuan orang ramai khususnya pengguna media sosial yang menganggap dirinya sebagai “tidak menyenangkan” kerana gemar memberikan kenyataan tidak matang.

Bagaimanapun, tujuh pemuda penghantar makanan itu menyifatkan personaliti Sanusi sebagai sangat bersahaja.

Mereka memberitahu cara pemimpin itu yang sangat santai memudahkan orang-orang kampung berdamping dengan wakil rakyat dan meluahkan perasaan.

“Sempoi. Dia memang menteri besar paling sempoi yang kami pernah ada.

“Dia suka troll orang, sebab orang tu yang mengusik dia dulu,” kata mereka merujuk kepada siri berbalas “usikan” antara Sanusi dan pemilik Johor Darul Takzim (JDT) Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di media sosial kerana perlawanan bola sepak.

Dalam beberapa hantaran yang pernah dimuat naik di Facebook, Sanusi pernah memaparkan beberapa keping gambarnya sedang bermain bola sepak sebagai mengulas kenyataan Tunku Ismail berhubung status pembayaran gaji tertunggak pemain pasukan Kedah.

“Hang tak pakai seluaq lagi aku main bola dah. La ni pun dok main bola lagi. Diet apa diet?”

Sebelum itu juga, Sanusi pernah mendapat kritikan hebat selepas membuat kenyataan mengguris hati berbunyi “kontena jenazah mencukupi, siapa nak masuk bagi nama” sehingga menyaksikan banyak pihak tidak selesa dengan kenyataan itu terutamanya keluarga-keluarga mangsa korban Covid-19.

Kepada pemerhati politik tegar, kenyataan yang dikeluarkan oleh Sanusi tidak hanya melibatkan isu politik dan partinya, PAS.

Beliau turut mendapat perhatian daripada peminat bola sepak tempatan.

Perkembangan ini menimbulkan perbincangan hangat apabila seorang ahli politik lantang mengeluarkan kenyataan kepada kerabat diraja serta tidak mengendahkan teguran masyarakat.

Ramai mula mempersoalkan, adakah imej dan karakter yang dibawa oleh Sanusi akan menyelamatkan karier politiknya?

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mazlan Ali bersetuju dengan pandangan awal masyarakat yang mengandaikan karakter Sanusi seperti tidak mencapai tahap yang perlu ditunjukkan oleh seorang yang bergelar menteri besar.

“Tapi akhirnya saya lihat dia ni mempunyai satu watak seperti Azizan dulu, ingat tak?

“Dia punya gaya dan penggunaan bahasa badan Azizan, dia bijak. Apabila orang mahu kenakan dia, dia akan kenakan orang itu balik,” katanya kepada MalaysiaNow merujuk kepada bekas menteri besar Kedah ke-10, Azizan Abdul Razak.

Mazlan tidak menolak kemungkinan, karakter yang dibawa oleh Sanusi sebagai sesuatu yang semula jadi wujud dalam kehidupan bermasyarakat di negeri itu.

“Sebenarnya menteri besar begini, orang awam memang suka pemimpin macam ini.”

Katanya, rakyat bawahan berasa lebih selesa kerana pemimpin yang berjawatan besar seperti Sanusi tidak mempunyai protokol-protokol khas ketika bergaul dengan masyarakat.

Atas sebab itu, tidak menghairankan apabila Sanusi membuat kenyataan yang dianggap “pelik” tetapi rakyat Kedah tidak memandang serius kenyataannya kerana menganggap beliau sedang bergurau.

Jelas Mazlan, karakter Sanusi akan mendapat penilaian berbeza mengikut kategori pengundi. Pertama, bagi pengundi-pengundi parti politik selain PAS, mereka sudah pastinya menganggap beliau sebagai menteri besar yang “bodoh” dan tidak tahu membuat kerja dengan baik.

Manakala bagi pengundi yang berada di kawasan-kawasan bandar juga akan menolak Sanusi sebagai calon wakil rakyat yang mewakili mereka.

“Tapi Kedah ini negeri yang kecil dan mereka di kawasan bandar juga tidak ramai. PAS memang handal di kawasan-kawasan kampung kerana Kedah ramai orang kuat agama.

“Di kawasan-kawasan bandar, PAS sendiri tahu mereka tiada peluang (untuk menang).”

Jelasnya, senario itu juga sama dengan politik PAS di Kelantan.

“Jadi, jika ditanya, MB seperti Sanusi ini boleh survive atau tidak, berdasarkan penilaian politik semasa beliau memang ada peluang di Kedah.”

MB tak main golf

Sementara itu, seorang pemandu e-hailing mahu dikenali sebagai Afiq berkata populariti Sanusi turut mendapat perhatian pelancong dari luar negeri itu.

Ketika mengambil pelanggannya di lapangan terbang ataupun lobi hotel, dia seringkali ditanya mengenai Adun Jeneri itu. Selalunya, mereka akan bertanya;

“Adakah itu sikap dan perangai orang berasal dari Kedah? Celupar dan kebudak-budakan?”

Katanya, selama beberapa kali mengundi pada pilihan raya umum dia berasa kecewa kerana tidak dapat “mendekati” menteri besar negerinya sendiri kerana kewujudan jurang karakter antara pemimpin dan rakyat biasa.

“Dia masuk kampung, duduk minum sirap dalam rumah. Tak payah pasang-pasang khemah. Dia menteri besar yang tak main golf.

“Dia main bola sepak dan ragbi, sukan yang memang popular dengan anak-anak orang biasa.

“Sebab itu saya suka bila orang tanya tentang hal ini. Saya ada peluang untuk beritahu mereka bahawa Sanusi is the best (paling baik).” – Malaysianow

TMJ ‘sound’ Safawi? – “Kemaruk sangat paksa boyfriend kahwin”

AC Mizal akui pernah makan tisu cicah kuah roti canai orang lain, ‘isteri tak tahu’

Pesawah raih RM50,000 hasil tanam padi, siap bagi tips nak berjaya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *