Kenyataan Media rasmi pertama Umno selepas Najib dipenjara

KENYATAAN MEDIA

1. Keluarga besar UMNO melahirkan rasa dukacita atas pengakhiran keputusan perbicaraan Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022.

2. UMNO merasa amat terkilan kerana proses dan ruang untuk mantan Perdana Menteri mempertahankan dirinya terutama usaha untuk mengemukakan bukti-bukti baharu dan penangguhan bagi membolehkan pasukan pembelanya yang baharu membuat persiapan telah dinafikan.

3. Bagi UMNO keputusan Mahkamah Persekutuan semalam tidak sama sekali dapat memadamkan jasa besar Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri yang telah membawa Malaysia ke mercu kejayaan dan meletakkan Malaysia di persada sebelum disuramkan oleh kegagalan dua kerajaan selepas PRU-14 yang lalu.

4. Walau jasad dipenjara, semangat dan daya juang mantan Presiden UMNO itu dalam usaha mempertahankan dirinya serta tampil berada di barisan hadapan untuk melonjakkan semula citra UMNO sehingga mampu bangkit semula selepas kekalahan PRU-14, akan tetap membara.

5. UMNO akan terus bersama Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam menghadapi perbicaraan kes lain yang sedang dihadapinya bagi menjamin beliau mendapat keadilan dan tidak dimangsakan dengan tekanan politik.

6. Kepada seluruh ahli UMNO, kita perlu bertenang dan tanamkan tekad, segala kepincangan dalam sistem untuk menjamin keadilan, akan menjadi salah satu agenda untuk diperbetulkan.

7. Ini termasuklah pendedahan bekas Peguam Negara Tommy Thomas mengenai campur tangan politik Perdana Menteri Pakatan Harapan terdahulu dalam pelantikan Hakim dan perjalanan sistem perundangan negara.

AHMAD ZAHID BIN HAMIDI
24 OGOS 2022

Leave a Reply

Your email address will not be published.