“Kini masa untuk mohon pengampunan daripada Agong”

Bekas perdana menteri, Najib Razak boleh memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong berhubung sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International, kata bekas peguam negara, Abu Talib Othman.

“Terpulang kepada dia (Najib) bila mahu memohon. Ini bukan rayuan, tetapi hanya prosedur pentadbiran,” katanya yang berkhidmat sebagai peguam negara dari 1980 hingga 1993.

Beliau ditanya apakah jalan yang ada bagi Najib sekarang, setelah Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan dan hukumannya.

Najib sebelum ini didapati bersalah atas tujuh tuduhan membabitkan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang di Putrajaya dan Kuala Lumpur antara 2010 dan 2015.

Abu Talib berkata, Agong akan memanjangkan sebarang permohonan pengampunan kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, seperti yang dinyatakan di bawah Perkara 42(11) Perlembagaan Persekutuan.

Baginda kemudiannya akan mempengerusikan mesyuarat lembaga itu.

Ahli lembaga itu hendaklah terdiri daripada peguam negara, menteri Wilayah Persekutuan dan tidak lebih tiga individu lain yang dilantik oleh Agong.

Abu Talib berkata, Jabatan Perdana Menteri juga akan menyediakan laporan untuk lembaga itu.

Beliau berkata, Perkara 42 (9) menyatakan sebelum mengemukakan nasihat mereka, lembaga hendaklah mempertimbangkan sebarang pendapat bertulis yang mungkin dikemukakan peguam negara.

Abu Talib menjadi pendakwa raya ketika bekas menteri besar Selangor, Harun Idris disabitkan kesalahan rasuah pada akhir 1970-an.

Beliau adalah peguam negara ketika bekas menteri belia dan sukan, Mokhtar Hashim dijatuhi hukuman mati atas tuduhan membunuh Speaker DUN Negeri Sembilan ketika itu, Taha Talib, pada 1982.

“Kedua-duanya diberi pengampunan hanya selepas menjalani hukuman penjara untuk satu tempoh,” katanya.

Sementara itu, peguam Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar berkata, walaupun kuasa pengampunan terletak pada Agong, baginda mesti bertindak atas nasihat.

Beliau berkata, keputusan mana-mana lembaga pengampunan pada masa ini tidak disemak oleh mahkamah.

“Saya rasa Najib perlu menjalani (hukuman) untuk tempoh tertentu sebelum boleh mendapat pengampunan kerana dia tidak mengemukakan faktor pengurangan di hadapan mahkamah tertinggi.”

Katanya, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim diberi pengampunan pada Mei 2018, selepas dipenjarakan sejak 2015 atas salah laku seksual terhadap bekas pembantunya.

Semalam, panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat mengesahkan sabitan dan hukuman Najib oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Dis tahun lepas, yang seterusnya mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 28 Julai 2020, hakim Nazlan Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas Ahli Parlimen Pekan itu atas tujuh tuduhan rasuah.

Leave a Reply

Your email address will not be published.