‘Kita akan selesaikan hari ini’ – Ketua Hakim Negara

“Kita akan selesaikan perkara ini, hari ini juga,” demikian keputusan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, ketika menolak permohonan untuk menangguhkan prosiding kepada esok.

Terdahulu peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang membantu Hisyam Teh Poh Teik, berhujah dalam permohonan supaya Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuan akhir Datuk Seri Najib Razak berhubung berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya, telah memohon agar hujahan permohonan itu bermula pagi esok kerana beliau perlu menghadiri simposium di Parlimen pada petang ini.

Malah, Muhammad Shafee menjelaskan beliau hanya dimaklumkan mengenai perkara itu dua jam lalu dan tidak berpakaian dengan sewajarnya, di samping menegaskan bahawa permohonan berkenaan bukan boleh diambil ringan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram yang menyifatkan ia sebagai alasan untuk menangguhkan prosiding, membantah permohonan berkenaan.

Tengku Maimun kemudian memutuskan untuk tidak membenarkan hujahan permohonan berkenaan ditangguhkan kepada pagi esok.

Beliau berkata, panel mengambil pendirian bahawa Hisyam bersedia dengan hujahan dan memerintahkan peguam itu menyambung hujahannya.

Muhammad Shafee kemudian berkata, Hisyam boleh menghabiskan hujahan hari ini dan beliau boleh menyambung hujahan pada pagi esok.

“Kamu boleh datang esok atau pada bila-bila masa.

“Jika semua selesai hari ini, tiada alasan untuk Muhammad Shafee datang esok. Tiada sesiapa akan berada di sini esok,” kata Tengku Maimun.

Leave a Reply

Your email address will not be published.