Komen Zaid Ibrahim selepas dipecat sebagai peguam Najib mengejutkan

Datuk Mohd Zaid Ibrahim berkata firma guamannya, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners sudah melakukan yang terbaik untuk Datuk Seri Najib Razak dalam prosiding rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Zaid menerusi hantaran di Facebook berkata beliau menerima dan memahami bahawa Najib kini berada di titik penting dalam garis masa kes SRC, apabila kebebasan peribadinya menjadi taruhan.

Beliau menerima dengan hati terbuka keputusan Najib untuk memberhentikan khidmat firma guamannya.

“Kami memahami sepenuhnya bahawa beliau perlu melakukan apa yang terbaik buat dirinya.

“Sehubungan itu, saya berpegang kepada kenyataan awal bahawa firma guaman saya tidak akan meninggalkan Najib sebagai anak guam,” katanya.

Tambahnya, keputusan Najib untuk memberhentikan firma guamnya mendapat sokongan dan persetujuan penuh daripada beliau.

Keputusan itu dibuat atas kepercayaan bahawa pasukan peguam bela beliau tidak lagi boleh memberikan sebarang khidmat yang berguna dalam pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“Najib percaya bahawa andaian lazim mahkamah bahawa penyusunan semula pasukan pembelaan akhir bulan lalu adalah sebahagian daripada muslihat taktikal untuk menyekat dan melengahkan prosiding atau melambatkan keputusan akhir dan hukuman yang akan dijatuhkan.

“Sebagai seorang ahli politik sendiri, saya boleh sahkan bahawa andaian itu adalah jauh daripada kebenarannya,” katanya.

Tambahnya, beliau mendoakan yang terbaik buat Najib.

“Saya akan sentiasa ada untuk membantu beliau dalam apa juga situasi, sebagai seorang peguam dan juga teman,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *