Konsert di Kelantan luar bidang kuasa kerajaan, kata Idris Ahmad

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad memaklumkan pihaknya menyerahkan kepada kerajaan Kelantan untuk menyiasat sama ada penganjuran Konsert Riuh Sokmo! di negeri itu pada Jumaat hingga Ahad lalu, melanggar peraturan negeri berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan konsert berkenaan bukannya dianjurkan oleh kerajaan negeri, sebaliknya oleh pihak luar dan ia juga sudah mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta memenuhi syarat ditetapkan.

“Di Kelantan PBT ada peraturan sendiri dan sekiranya melanggar undang-undang ditetapkan, terpulang kepada kerajaan negeri untuk mengambil tindakan.”

“Kerajaan Pusat tidak boleh mengambil tindakan dan kita tunggu hasil siasatan serta laporan dari kerajaan Kelantan,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Kempen Hentikan Fitnah Di Media Sosial di bangunan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) di sini hari ini.

Semalam sebuah portal melaporkan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed, menyuarakan kebimbangan terhadap Konsert Riuh Sokmo! yang disifatkan bertentangan dasar ‘Membangun Bersama Islam’ yang dibawa kerajaan negeri.

Beliau dilapor berkata, pihaknya menerima pelbagai pandangan berasaskan kebimbangan suburnya budaya konsert di negeri Cik Siti Wan Kembang itu dan penganjuran konsert seumpama itu amat membimbangkan semua pihak termasuk kalangan ibu bapa.

Leave a Reply

Your email address will not be published.