Konsert di Kelantan mungkin boleh memusnahkan musuh Islam, kata lidah rasmi PAS

Berikut merupakan tulisan dari Harakahdaily

Konsert di Kelantan mungkin boleh memusnahkan musuh Islam

KONSERT di Kelantan dipersembahkan dalam bentuknya yang berlainan dan tersendiri. Ia bukan kali pertama diluluskan. Ketika mana almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA) masih hidup, satu konsert besar telah berjaya diadakan di Kota Bharu, sekitar tahun 2005.

Artis yang datang mengadakan persembahan itu antaranya artis lelaki iaitu Datuk M. Nasir dan Mawi. Penonton dipisahkan mengikut gender dan bagi yang berkeluarga, ditempatkan di tengah-tengah.

Konsert itu langsung tidak dibantah oleh orang PH yang bersama PAS ketika itu. Mungkin itulah konsert tersuci bagi mereka. Yang mengutuk waktu itu, Umno, konon konsert menunggang agama. Sekarang terbalik, Umno mengikut tiap telunjuk kehendak Kerajaan Kelantan, bersungguh mematuhi peraturan.

Dan kini, orang PH yang keluar PAS mulai nampak konsert itu sebagai kotor, jijik. Sedangkan PAS sebagaimana biasa, tetap istiqamah kerana yakin dengan kefahaman agamanya. Ia mungkin tidak menepati keseluruhan kehendak syariah, tetapi ada usaha mengubah ke arah itu.

Sama seperti perbankan Islam, masih ada ruang pembaikan. Tiada sistem perbankan yang 100 peratus menepati syariah. Tetapi ia tetap ditubuhkan bagi memberikan alternatif. Orang yang benar-benar beriman, tidak menyimpan wang dalam bank kerana takut syubhah.

Idea ini datangnya dari pimpinan bahawa Islam membenarkan hiburan, tetapi dalam bentuk yang dikawal. Ia bukan setiap hari atau mingguan, tetapi sekali sekala sahaja.

Kesederhanaan itu, memberikan gambaran keindahan Islam. Konsert sebegini, bukan untuk golongan muda yang soleh dan solehah, kerana mereka sendiri tidak sukakan suasana begitu. Sama seperti merokok, walau difatwakan haram, tetap ada kawasan bagi perokok dan semestinya bukan untuk orang soleh, kerana orang soleh tidak merokok.

Desakan menggila dari jiwa memberontak anak muda yang lemah iman, perlu juga diberikan perhatian, bukanlah dengan mengikut semua kehendak gejolak nafsu mereka, tetapi mengawalnya, tidak juga menyekat terus sesuatu yang dibolehkan. Bukan semua kuat dan kukuh imannya. Begitulah dasar politik Islam, bertolak ansur dalam hal cabang.

Kini rakyat Kelantan dihidangkan lagi dengan konsert Wings, anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Ketereh. Antara syarat kemasukan ke konsert, penonton wanita mestilah bertudung, dipisahkan tempat duduk lelaki dan perempuan. Lagu-lagu yang dinyanyikan pula tidak melampau. Kesimpulannya, ia hampir sama dengan konsert M. Nasir dan Mawi tahun 2005 dahulu. Tetapi mengapa kini ia diperdebatkan sebegitu rupa?

Sebab mereka yang mengkritik itu, sebenarnya merasa rimas, tidak mahu dikawal agama. Konon atas nama kebebasan seni. Sedangkan sudah banyak acara kesenian yang telah diubah oleh Kerajaan Kelantan sebelum ini.

Lirik Dikir Barat tidak boleh lagi mengarut meraban. Wayang kulit juga diceritakan Tok Dalang berkenaan kebaikan, bukan lagi hikayat Kera Hanuman yang tahyul itu. Mak Yong pula sudah diterima untuk tidak diadakan watak wanita, hanya Pak Yong yang dipersembahkan.

Semua itu adalah evolusi kesenian yang diterima oleh penggiatnya, asalkan tidak dihalang. Mereka masih dapat melihat ruang-ruang yang diberikan dengan mengubah cara persembahan, tanpa mengubah keaslian bentuk kesenian itu sendiri.

Ia juga bukan satu dosa melakukan perubahan sebegitu. Bila ada ruang keharusan, ia boleh dibincangkan. Orang Islam, bukan jenis gilakan hiburan, berpada-pada, tetapi jika mahu dibuat, buatlah dalam lingkup kawalan. Berbeza dengan judi yang mana tuntas diharamkan.

Pihak yang bersungguh menjadikan konsert terkawal di Kelantan ini sebagai isu adalah kerana mereka melihat adanya peluang hubungan baik PAS dan Umno. Umno sedang menerima syarat hiburan PAS yang diluluskan semenjak Almarhum TGNA menjadi Menteri Besar lagi. Bermakna mereka sekarang menghormati PAS. Inilah yang PH takutkan. Seriau benar mereka jika konsert di Kelantan ini diterima sebagai penanda aras dan merebak ke tempat lain.

Pastinya ketakutan mereka itu berasas kerana apabila kerajaan di Kelantan, Terengganu dan Kedah telah banyak menerapkan nilai-nilai Islam, tentunya berganda lagi hal yang akan disekat, dibuang, diubah, tidak lagi menurut neraca si kafir. Lihat syarat pawagam di Terengganu, ia dipuji. Ia adalah nilai positif yang dikembangkan mengikut situasi semasa. Atas peraturan ini, rakyat merubah cara hidup mereka, jikapun tidak menurut Islam secara total, tetapi dibentuk oleh suasana sekeliling, menjadikan mereka lebih baik.

Konsert yang diatur menurut sempadan yang ketat sebegini, diharap menjadi asbab kepada sesuatu yang lebih baik. Lebih ramai dalam masyarakat menjadi bagus, peka kepada agama, membenci nilai songsang, maka akan bertambahlah jumlah insan-insan yang menerima Islam dalam kehidupannya.

Apabila Islam sudah bertapak kukuh dalam dirinya, maka musuh Islam akan semakin lemah. Kita tidak tahu dari mana dan bagaimana kebaikan itu dikurniakan Allah. Entah-entah dari konsert yang dikawal ini. Ia tidak sempurna, tetapi Rasulullah berpesan jika tidak mampu buat semua, jangan tinggal semua. Perbaiki sistem dari semasa ke semasa. Atau yang mengkritik itu, berikan cadangan alternatif.

Musuh Islam mahu membunuh karakter Islam, kerana mereka tiada nilai yang mulia untuk diketengahkan. Dengan cuba melumurkan najis mereka kepada Islam, mereka berharap orang akan melihat perbandingan siapa yang lebih kotor. Sebaliknya pula, Islam menjulang nilai-nilai kemanusiaan ke tahap tertinggi, tanpa menjatuhkan sesiapa. Hanya sahaja, apabila nilai Islam itu tertinggi dan termulia, maka yang lain akan dilihat rendah dan hina, sebagaimana nilai yang dimiliki oleh musuh Islam. Inilah yang mereka runsingkan.

Sudah banyak hal yang mereka gagal buktikan kepada rakyat. Yang tinggal talian hayat mereka ialah melalui hiburan yang melalaikan, bagi mengumpan anak-anak muda supaya mengikut jalan kesesatan yang mereka terokai. Mereka bertumbuk sesama mereka dalam mesyuarat, mereka mempunyai kes pecah amanah di mahkamah, mereka memfitnah sesama mereka, cabul, dadah, rogol, mereka juga menuduh jemaah Islam menerima rasuah, tetapi akhirnya terbukti ia adalah fitnah. Jadi, jika jalan hiburan ini juga dikuasai oleh Islam, mana lagi jalan mereka untuk menghasut rakyat, terutama golongan muda?

PH memusuhi PAS dan Umno dan takut kita bersatu. Dengan kenyataan rasmi PAS bahawa tiada pertandingan tiga penjuru, nasib PH semakin malang.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 21/9/2022

Terkini – Bekas Ketua Menteri Melaka meninggal dunia

“Standby” semua, PM mungkin akan umum tarikh pilihanraya hari ini

Leave a Reply

Your email address will not be published.