Makin keliru, Muhyiddin tuntut penjelasan dari PAS malam ini

Makin keliru, Muhyiddin tuntut penjelasan dari PAS malam ini

Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menuntut penjelasan daripada pimpinan PAS malam ini berhubung keputusan dan tindakan parti itu meneruskan kerjasama serta mengadakan ‘rundingan tidak rasmi’ dengan UMNO.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, tindakan pimpinan PAS menjalankan rundingan dengan UMNO mengenai kerjasama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), tidak dimaklumkan kepada PN.

Sehubungan itu, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU, mahukan penjelasan PAS dalam mesyuarat pimpinan tertinggi PN malam ini, kerana beliau berpandangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sepatutnya menjadi musuh yang ditentang gabungan itu dalam PRU-15.

“Kita akan bincang dalam mesyuarat PN malam ini. Saya akan minta Presiden atau Setiausaha Agung PAS untuk beri sedikit penjelasan, kalau ya ada perundingan atau perbincangan (dengan UMNO).

“Apakah benar-benar serius dan sejauh mana perkara itu akan berlaku. Perkara ini saya akan bangkitkan, kerana sekarang ini saya tak boleh nak komen kerana hanya dengar dari media sahaja,” katanya pada sidang media pada majlis pelancaran buku The Doctor Will See You Now – My Life With Ampikaipakan Kandiah di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang mendedahkan ada rundingan tidak rasmi antara parti itu dan pemimpin UMNO tertentu bagi membincangkan kerjasama menjelang PRU-15.

Selain itu, Muktamar Tahunan PAS Pusat Ke-68 turut meluluskan usul, meneruskan kerjasama dengan UMNO melalui platform Muafakat Nasional (MN) bagi memastikan situasi satu lawan satu pada PRU-15.

Mengulas lanjut, Muhyiddin memaklumkan pendirian PAS itu menimbulkan persoalan mengenai musuh yang bakal ditentang PN pada PRU-15, kerana UMNO sudah memutuskan menolak kerjasama dengan BERSATU pada PRU-15.

“Kita sudah tubuh PN. PAS bersama kita, jadi kita nak dapat penjelasan PAS macam mana kita nak menghadapi PRU?

“Adakah akan tentang BN? Bagi saya memang begitu kerana kita tak mahu kleptrokrasi terus berkuasa dan berleluasa, dikaitkan dengan pimpinan BN.

“Apa pun nanti saya akan dapat penjelasan, selepas itu PN akan buat pendirian jelas supaya tak ada keraguan mana hala tuju kita ke depan,” katanya.

Pada masa sama, Muhyiddin berpandangan parti dalam PN sewajarnya berbincang terlebih dahulu dengan rakan komponen supaya tidak dilihat berbeza pendirian, yang berisiko menjejaskan masa depan PN.

“Bila saya mengadakan rundingan dengan mana pemimpin politik seperti yang pernah saya buat dulu, saya akan maklum (pada parti komponen PN) dan saya dapatkan pandangan sama ada wajar atau tidak.

“Ini kerana kita tidak mahu dilihat sebagai parti yang mempunyai pelbagai pendirian. Tentulah tak baik bagi masa depan PN dan kita nak jelas perkara ini kepada rakyat dan masyarakat umum apa sebenarnya pendirian PN,” katanya.

Dakwaan Najib tinggal dalam rumah pegawai penjara, akhirnya Jabatan Penjara bersuara

2 thoughts on “Makin keliru, Muhyiddin tuntut penjelasan dari PAS malam ini

  1. Midin ni pun bapak kleptokrasi penyamun mega jugak. Berhentilah berpura2 bermuka2 ni. Bangkai gajah x boleh tutup dgn nyiru inikn bangkai dinasaur

Leave a Reply

Your email address will not be published.