Persoalan sama ada Mahkamah Tinggi menerima pembelaan Datin Seri Rosmah Mansor yang menghadapi tiga tuduhan rasuah membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion, akan terjawab hari ini.
Keputusan itu dibuat kira-kira seminggu selepas Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta terhadap suaminya, Datuk Seri Najib Razak dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. Najib kini menjalani hukumannya di Penjara Kajang.
Jika Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan menerima pembelaan itu, Rosmah yang juga digelar First Lady Of Malaysia akan dibebaskan daripada tiga tuduhan meminta suapan RM187.5 juta dan menerima suapan masing-masing berjumlah RM1.5 juta serta RM5 juta berkaitan projek berkenaan.
Sebaliknya, jika pembelaannya tidak berjaya menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan, Rosmah berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun bagi setiap tuduhan dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, kelmarin Rosmah dilaporkan mengemukakan permohonan secara dalam talian meminta Hakim Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada kes itu dan memohon supaya ia didengar atau dibicarakan semula oleh hakim lain.
Permohonan itu dibuat kerana Rosmah berkata beliau hilang kepercayaan terhadap Mohamed Zaini untuk membuat keputusan dalam kes rasuah membabitkan projek tenaga solar sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion yang dihadapinya, hari ini.
Permohonan untuk menggugurkan Mohamed Zaini itu difailkan kelmarin secara dalam talian dengan alasan beliau hilang kepercayaan kepada hakim terbabit berikutan pendedahan sebuah portal berita bahawa bukan Mohamed Zaini yang menyiapkan keputusan penghakiman kes, sebaliknya oleh pihak lain bagi dirinya.
Kronologi kes rasuah solar Rosmah
15 November 2018 – Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak
15 November 2018 – Bekas Pegawai Khas Datuk Seri Najib Razak, Datuk Rizal Mansor didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menerima rasuah RM500,000 bagi dirinya dan RM5 juta bagi pihak Rosmah membabitkan projek itu
15 Mac 2019 – Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi membabitkan dua tuduhan rasuah dihadapi Rosmah
10 April 2019 – Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menerima suapan RM5 juta membabitkan projek sama
28 Jun 2019 – Tuduhan menerima suapan RM5 juta turut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi
5 Februari 2020 – Perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi bermula
8 Januari 2020 – Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Rizal
11 Disember 2020 – Selepas mendengar keterangan 23 saksi, pihak pendakwaan menutup kes Hakim menetapkan 10 Februari 2021 bagi mendengar hujahan
10 Februari 2021 – Mahkamah mendengar hujahan kes Hakim menetapkan 18 Februari bagi keputusan selepas mendengar hujahan lisan pendakwaan dan pembelaan
18 Februari 2021 – Mahkamah memerintahkan Rosmah membela diri
5 Oktober 2021 – Rosmah mula memberikan keterangan membela diri
23 Februari 2022 – Pembelaan menutup kes
12 Mei 2022 – Mahkamah Tinggi menetapkan 7 Julai bagi keputusan
1 Julai 2022 – Keputusan kes dijadualkan semula pada 1 September
26 Ogos 2022 – Tular dokumen yang didakwa kertas penghakiman kes itu
Baca: Jho Low dah jumpa, rupanya tak jauh dari Malaysia
Tular pertandingan bina badan wanita ‘separuh bogel’ di Kedah
Tun Mahathir dikejarkan ke IJN selepas positif covid-19, ini keadaan semasa