Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta membuat keputusan segera mengenai status Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sama ada akan diteruskan atau ditunda ke suatu tarikh lain berikutan beberapa kawasan mula dilanda banjir.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berkata keputusan itu penting demi memberi kemudahan kepada calon dan juga pengundi yang akan melaksanakan tanggungjawab mereka.
Katanya, SPR juga diminta membuat keputusan dengan tidak dipengaruhi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Saya rasa penting untuk memahami urusan pilihan raya yang mana ada peruntukan untuk menunda. Bukan buat pilihan raya semula tetapi menunda, jadi jangan salah faham maksud saya.
“Yang mendesak dan minta pilihan raya ini diteruskan adalah UMNO dan Barisan Nasional (BN) walaupun tahu ketika ini musim banjir, jadi bila dah teruskan kita hormati proses itu.
“Sama juga proses kalau perlu tunda contoh di kawasan seperti Klang (Selangor) yang ketika ini sudah mengalami banjir, maka perlu buat sekarang (umum) bagi memudahkan calon yang bertanding dan juga pengundi,” katanya.
Nurul Izzah yang juga calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh berkata demikian pada sidang media di Yayasan Aman, Penanti, di sini, hari ini.
Jelasnya, beliau tidak dapat menerima sekiranya keputusan penundaan dibuat pada saat akhir yang bakal menyusahkan ramai pihak dan meminta SPR menjadi sebuah badan bebas daripada dipengaruhi mana-mana parti politik.
Dalam pada itu, Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang, Goh Choon Aik pada sidang media sama turut menyatakan sokongan atas kenyataan Nurul Izzah.
Choon Aik berkata, banyak lokasi pada ketika ini mula dilanda banjir termasuk kawasan sekolah yang menjadi tempat pengundian.
“SPR perlu buat keputusan segera adakah pilihan raya ini akan diteruskan atau ditangguh kepada satu tarikh lain,” katanya.
Kata nak buka taman tema terbesar, Disney ‘kantoikan’ penipuan Exco Umno Melaka