Pak Lah derita demensia sejak 2000, “tak kenal orang dah”, dedah KJ

Khairy Jamaluddin mendedahkan bahawa bapa mentuanya, bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi, kini menghidap demensia.

Menteri kesihatan itu berkata, Abdullah mula menunjukkan tanda-tanda kurang upaya selepas bersara sebagai perdana menteri.

Tambahnya, Abdullah tidak lagi mengingati namanya, isteri serta ahli keluarga lain.

“Saya ingin berkongsi satu perkara peribadi yang tidak pernah dikongsikan sebelum ini, (iaitu) Pak Lah menghidap demensia,” kata Khairy.

“Beliau mula menunjukkan tanda kecacatan kognitif (cognitive impairment) sejak 2009 selepas beliau bersara daripada jawatan perdana menteri.

“Ramai orang tertanya-tanya keberadaannya dan sudah lama tidak melihatnya di tempat umum. Beliau kini terpaksa duduk atas kerusi roda, umpama mempunyai kehadiran fizikal dan fikirannya tiada.”

Beliau berkongsi perkara ini pada Majlis Pelancaran Panduan Amalan Klinikal (CPG) Pengurusan Demensia (Edisi Ketiga) dan Pengurusan Schizophrenia (Edisi Kedua) di Sheraton Imperial di sini hari ini,

Mengulas lanjut, Khairy berkata, keadaan bapa mentuanya tidak lagi seperti biasa dan beliau tidak mengenali orang terdekat.

“Saya tahu beliau masih mengenali saya apabila melihatnya mengerdipkan mata, apabila saya melawatnya,” katanya, lapor Berita Harian.

“Lebih banyak hari yang sukar berbanding hari yang lancar. Jadi doakan beliau dan kami berharap untuk hari yang lebih baik.”

Khairy berkata, beliau membuat pendedahan mengenai penyakit dihidapi Abdullah ini selepas mendapat persetujuan keluarganya.

Pengurusan penjagaan pesakit demensia ialah suatu perkara yang paling mencabar, katanya. Hal ini kerana pesakit demensia memerlukan penjagaan setiap masa yang berterusan.

“Saya dapat lihat bagaimana ibu mentua saya (Jeanne Abdullah) melalui situasi sukar kerana (pesakit) demensia memerlukan penjagaan rapi 24 jam,” katanya.

“Justeru kami sediakan jururawat profesional untuk bersamanya setiap masa. Kami agak bernasib baik kerana mampu berbuat demikian, bayangkan orang yang tidak mampu.”

Angkara peniaga jeruk mangga tepi jalan, motor kemalangan dengan Nissan X-TrailUstazah cantik dari Malaysia ini nekad buat rumah sendiri, “tak ada bejet upah orang”

Leave a Reply

Your email address will not be published.