Parlimen Ketereh: Annuar Musa beri bayangan akan tanding tiket PN

Parlimen Ketereh: Annuar Musa beri bayangan akan tanding tiket PN

Parlimen Ketereh: Annuar Musa beri bayangan akan tanding tiket PN. Penyandang Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa memberi bayangan akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), namun atas tiket parti lain.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan hanya memikirkan tindakan lanjut selepas disahkan tidak dicalonkan oleh Barisan Nasional (BN) di Parlimen Ketereh.

“Katalah saya tidak dipilih menjadi calon, saya tidak boleh mengamuk dan marah. Namun perjalanan politik saya masa itu saya akan duduk serta fikirkan kalau buat sekian-sekian apa jadi. Saya akan fikir dengan jiwa yang tenang tanpa terburu-buru.

“Pilihan itu banyak. Sekarang kalau tidak duduk dalam parti kerajaan pun, di luar pun ada parti lain juga parti kerajaan. Ini kerana senario politik nasional sudah berubah.

“PAS pun parti kerajaan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pun parti kerajaan. Semua di bawah Perdana Menteri yang sama. Tepuk dada tanya selera,” katanya pada sidang media hari ini.

Annuar bagaimanapun berkata, sebarang keputusan diambil perlu merujuk jentera UMNO Bahagian Ketereh.

“Kita mempunyai lebih 4,000 jentera akar umbi yang sedang bekerja keras, kena tanya mereka selain bertanyakan rakyat,” katanya.

Pada masa sama ketika ditanya sama ada beliau dilamar oleh parti lain untuk menjadi calon, Annuar berkata beliau masih milik UMNO.

“Mana boleh parti lain buat tawaran, saya masih ahli Parlimen BN. Jangan masih lagi isteri orang dah ada yang melamar,” katanya.

Sebelum ini ada khabar angin mendakwa Menteri Wilayah yang juga bekas Menteri Besar Perlis, Tan Sri Shahidan Kassim, Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Adham Baba dan Annuar sebagai antara nama yang tidak dicalonkan semula oleh UMNO dalam PRU15.

Shahidan dalam kenyataan di Facebook berkata, bilik gerakan BN bagi Parlimen Arau telah ditutup sejak malam tadi dan bendera parti turut diturunkan.

Penutupan bilik gerakan berkenaan dilihat sebagai protes terhadap penolakan pencalonan Shahidan yang sudah menjadi Ahli Parlimen di kawasan berkenaan selama empat penggal bermula 1986, 1990, 2013 dan 2018.

Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO dalam kenyataan di Facebook malam tadi berkata, pemilihan calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada PRU15, didakwa tidak mengikut kaedah ditetapkan Perlembagaan parti.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh berkata, dakwaan yang berlegar membabitkan spekulasi calon BN biarpun parti lawan sudah mengumumkan senarai calon mereka yang dikatakan sarat dengan personaliti ‘big and heavyweight’.

“Bakal calon (BN) sudah dibawa menandatangani dokumen dan aku janji tertentu sejak dua hari lalu, …justeru, ‘rumours’ (khabar angin) mula tersebar.

“Walaupun Perlembagaan menghuraikan dengan jelas skop dan kaedah pemilihan calon, nampaknya sekali lagi ia tidak diendahkan,” katanya.

Penyandang kerusi Parlimen Ketereh itu mendakwa, biarpun Top 5 (lima pemimpin tertinggi UMNO) diberi kuasa berunding bagi pihak Majlis Kerja Tertinggi (MKT), senarai calon ditapis lagi oleh ‘pihak tinggi’.

Malah, beliau berkata, kedengaran banyak khabar angin mendakwa ramai ‘winners’ yang boleh menang ‘dipancung’ atau tidak disenaraikan, terutama yang rapat dengan Perdana Menteri, walaupun dijanjikan bahawa bakal calon dipilih adalah dalam kategori WALI, iaitu ‘winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ (diterima) serta ‘likeable’ (disenangi).

“Tapi itu ‘rumours’ (yang tidak semestinya tidak berasas).

“Apapun, kita berilah ruang secukupnya kepada pucuk pimpinan untuk berunding dan memilih. Menjadi calon tidak boleh diminta-minta. Tak perlulah melobi-lobi. Ia satu amanah, tanggungjawab untuk memenangkan cukup kerusi bagi parti. Jika tidak, berkubur dua kali.

“Kurangkan spekulasi. Tunggu saja pengumuman rasmi sehari dua saja lagi,” tulisnya.

Annuar Musa sahkan tidak dijemput majlis umum calon BN malam ini

Parlimen Ketereh: Ketua Puteri Umno ganti Annuar Musa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *