Peguam Najib ugut tarik diri jika mahkamah teruskan tarikh bicara minggu depan

Pasukan peguam yang baru dilantik mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak bagi rayuan terakhir dalam kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd, hari ini memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa mereka akan menarik diri sekiranya mahkamah tetap akan terus mendengar rayuan itu minggu depan.

Oleh itu, jika mahkamah tetap mahu prosiding rayuan utama diteruskan pada Isnin ini, peguam terlibat tidak mempunyai pilihan selain menarik diri daripada mewakili bekas perdana menteri itu.

Difahamkan, perkara itu dimaklumkan kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Wan Fatimah Zahara Wan Yusoff dan Siti Hajar Mustaffa semasa pengurusan kes di hadapan mereka yang dijalankan secara dalam talian hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V.Sithambaram dan Mohd Ashrof Adrin Kamarul bertindak bagi pihak responden (Pendakwa Raya) manakala peguam Hisyam Teh Poh Teik, Liew Teck Huat dan M.Rueben mewakili Najib (perayu).

Najib kemudian melantik Hisyam daripada Tetuan Hisyam Teh sebagai peguam utamanya manakala rakan kongsi ZIST, Liew dan Rueben sebagai peguam baharunya.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari mulai 15 Ogos untuk mendengar rayuan terakhir Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara atas penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Hari ini, media juga dimaklumkan bahawa pendengaran usul untuk mengemukakan bukti baharu akan didengar terlebih dahulu pada Isnin dan jika usul itu ditolak, mahkamah akan terus mendengar rayuan utama.

Bagaimanapun, media diberitahu bahawa peguam Najib akan membuat permohonan lisan di mahkamah untuk menangguhkan rayuan utama selepas selesai hujah bagi usul bagi memasukkan bukti baharu dan menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

Pada Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapatinya bersalah menyalahgunakan RM42 juta daripada dana SRC.

Kes itu di peringkat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan pada tahun lepas, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan bekas perdana menteri itu.

baca :

[Video] Terlepas dari genggaman, budak kena rempuh sampai patah tulang di Kelantan

Kereta Elektrik jadi kenderaan rasmi jemaah menteri Malaysia

Doa Nurul Izzah untuk Anwar Ibrahim undang rasa sebak

Leave a Reply

Your email address will not be published.