Peguam utama Najib demam, mahkamah terpaksa tangguh lagi

Prosiding rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan dokumen bank melibatkan bank pelaburan Amerika Syarikat Goldman Sachs dan keluarga bekas Gabenor Bank Negara (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz ditangguhkan hari ini setelah peguam utama bekas perdana menteri itu tidak sihat.

Memetik dari Bernama, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk P. Ravinthran, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Hashim Hamzah membenarkan permohonan penangguhan oleh Effa Azuin Aidrul Hisham yang merupakan antara peguam dalam pasukan pembelaan Najib.

Ravinthran, yang mengetuai panel itu, mengarahkan pengurusan kes diadakan esok untuk menetapkan tarikh awal bagi prosiding rayuan itu.

Mahkamah juga membenarkan permohonan Effa Azuin untuk mengecualikan Najib daripada menghadiri prosiding mahkamah hari ini yang berlangsung secara dalam talian.

Effa Azuin memberitahu mahkamah bahawa peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak sihat kerana demam.

Beliau berkata Muhammad Shafee yang tidak sihat pagi ini, telah ke klinik dan diberi cuti sakit. Beliau memohon mahkamah supaya diberi penangguhan pendengaran rayuan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib yang mewakili pendakwaan bersama Mohamad Mustafa P. Kunyalam, tidak membantah penangguhan itu tetapi menyerahkan kepada mahkamah berhubung permohonan untuk mengecualikan kehadiran Najib dalam prosiding mahkamah hari ini.

Najib dalam usaha mendapatkan dokumen bank untuk digunakan dalam perbicaraannya membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1Malaysia Development Bhd ( 1MDB).

Beliau merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Julai tahun lepas yang menolak dua permohonan penemuannya untuk meminta pihak pendakwaan dalam perbicaraan IMDBnya mendedahkan dokumen perbankan yang dikaitkan dengan keluarga Zeti atas dakwaan bahawa keluarganya didakwa menerima wang daripada ahli perniagaan dalam buruan. Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low.

Najib memfailkan perintah mahkamah pada 24 Mac tahun lepas untuk meminta pihak pendakwaan memberikan beberapa penyata perbankan daripada syarikat, termasuk Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, ACME Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd dan Central Holdings Ltd, dipercayai mempunyai kaitan dengan Jho Low dan keluarga Zeti dalam kes 1MDBnya.

Ahli Parlimen Pekan itu juga memfailkan permohonan kedua pada 7 April tahun lepas untuk mendapatkan perjanjian penyelesaian sulit antara kerajaan dan Goldman Sachs Group pada 2020 dan transkrip atau laporan forensik berhubung telefon bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, Tim Leissner.

Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan kesnya masih berjalan di Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Dalam prosiding hari ini, peguam Sofea Shereen Mohamed Salim hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak Zeti dan suaminya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.