Peja arah SPRM siasat rundingan sulit Zahid -Anwar

Peja arah SPRM siasat rundingan sulit Zahid -Anwar

Peja arah SPRM siasat rundingan sulit Zahid -Anwar. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa wujud perjanjian sulit antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menggugurkan pertuduhan rasuah.

Gesaan dibuat Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mengambil kira dakwaan dibuat bekas Perdana Menteri itu sebagai suatu yang serius.

“Saya amat terkejut dan terganggu dengan kenyataan Tun Dr Mahathir pada 6 November lalu yang mendakwa terdapat perjanjian sulit antara Anwar dan Ahmad Zahid.

“(Melalui) perjanjian itu didakwa terdapat persetujuan untuk menggugurkan tuduhan rasuah terhadap Ahmad Zahid seandainya Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Selain itu, sebagai balasan dilantik menjadi Perdana Menteri, Anwar juga perlu bersetuju untuk membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak daripada penjara,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Ahmad Faizal berkata, dakwaan dibuat Mahathir itu serius memandangkan ia membabitkan kepentingan negara, selain kepercayaan orang ramai terhadap sistem keadilan dan juga keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

Pada masa sama, katanya, ia juga membabitkan masa depan negara, sama ada dalam mematuhi kedaulatan undang-undang atau kedaulatan politik.

“Rakyat Malaysia berhak mengetahui kebenaran, terutamanya kerana Anwar adalah calon Perdana Menteri PH (Pakatan Harapan) selain dakwaan ini juga datangnya daripada seorang negarawan dan bekas Perdana Menteri.

“Pendedahan ini juga mesti dilihat dalam konteks peristiwa yang berlaku pada September 2020. Ketika itu, Anwar secara terbuka mendakwa telah memperoleh majoriti ‘kuat dan meyakinkan’ untuk membentuk kerajaan baharu.

“Walaupun didesak ketika itu, Anwar enggan menyatakan dari mana beliau mendapatkan bilangan sokongan ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Berdasarkan dakwaan Anwar ketika itu, beliau berkata, jelas bahawa jumlah sokongan yang didakwa hanya boleh diperoleh daripada Ahmad Zahid selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan juga UMNO sebagai parti.

Namun, katanya, hampir dua tahun kemudian iaitu pada April lalu, Anwar ‘terlambat’ mendakwa bahawa beliau tidak dapat membentuk kerajaan pada September 2020 adalah kerana enggan bersetuju untuk ‘memberi jaminan’ membebaskan mereka yang terbabit dalam tuduhan rasuah.

“Jika penjelasan terlewat ini benar, kenapa Anwar mengambil masa hampir dua tahun untuk berkata demikian?

“Mengapa beliau tidak mendedahkan perkara ini pada 2020? Oleh itu, penjelasannya pada 2022 tidak meyakinkan.

“Maka, peristiwa berlaku pada September 2020 ini pastinya menjadikan pendedahan Tun Dr Mahathir pada 6 November lalu sebagai satu perkara yang membimbangkan semua rakyat Malaysia,” katanya.

Ahmad Faizal yang juga calon Perikatan nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Tambun berkata, jika benar perjanjian sedemikian sudah dibuat, ia akan menjadi perjanjian untuk melakukan salah guna kuasa secara terang-terangan sekali gus melanggar Akta SPRM.

“Justeru, saya menggesa SPRM menyegerakan siasatan terhadap dakwaan oleh Tun Dr Mahathir ini.

“Memandangkan ia membabitkan kepentingan awam, maka sepatutnya juga hasil siasatan didedahkan kepada umum,” katanya.

Wanita tertinggi dunia terpaksa baring naik kapal terbang, terpaksa kosongkan 6 kerusi

Ini respon TMJ selepas didakwa jadi punca kemalangan jalan raya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *