Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) mengesahkan deraf kerja penghakiman berhubung rayuan akhir kes Najib Razak bocor.
Katanya, bagaimanapun, didapati bahawa dokumen yang bocor itu telah diubahsuai.
“Pejabat ini mengesahkan bahawa deraf kerja penghakiman yang telah bocor itu merupakan deraf kerja yang belum dimuktamadkan.
“Penghakiman muktamad hanya disampaikan di Mahkamah Terbuka pada lebih kurang jam 4 petang pada tarikh yang sama. Didapati bahawa dokumen yang bocor itu telah diubahsuai,” katanya dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu, perbuatan ini merupakan suatu tindakan sengaja untuk menjejaskan integriti pengoperasian mahkamah dan pentadbiran keadilan.
“Penyiasatan dalaman telah pun dimulakan dan laporan polis telah dibuat,” katanya.
Katanya, badan kehakiman tidak akan diganggu gugat oleh perbuatan menyalahi undang-undang dan tidak bertanggungjawab bagi menjejaskan integriti sistem kehakiman negara.
Hari ini, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki, menyatakan rasa terkejut dokumen terbabit bocor ketika rayuan akhir kes Najib berkait dana SRC International, masih berjalan di Mahkamah Persekutuan.
Katanya, dokumen itu boleh dimuat turun di sebuah portal berita, selain boleh didapati termasuk dikongsi di Whatsapp
“Pemuda Umno akan membuat laporan polis petang ini agar satu siasatan segera dapat dilakukan terhadap penularan dokumen ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.