PH namakan timbalan Ketua Pengarah JPA calon MB Perak. Pakatan Harapan (PH) menamakan bekas timbalan ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Zainal Azman Abu Seman sebagai calon menteri besar Perak jika gabungan itu memenangi negeri tersebut pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, PH membuat “pertaruhan besar” dengan menamakan Zainal sebagai calon menteri besarnya, tetapi menegaskan bahawa ia keputusan yang tepat.
“Beliau calon yang paling layak,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini.
Zainal yang juga bekas setiausaha kerajaan negeri Perak dijangka bertanding di kerusi DUN Kuala Sepetang.
“Perak kurang pemimpin Melayu yang dapat mengimbangi antara meningkatkan sokongan Melayu kepada PH dan PKR dan menguruskan negeri dengan stabil,” kata Rafizi ketika menjelaskan pencalonan Zainal.
Beliau berkata, PH akan meletakkan calon-calon yang kuat bukan sahaja di peringkat Parlimen tetapi juga di peringkat negeri untuk meraih sokongan lebih besar daripada pengundi Melayu.
PKR pernah memenangi kerusi Kuala Sepetang pada 2008 dan 2013 tetapi kalah kepada Umno dengan majoriti 329 undi pada PRU 2018.
PH membentuk kerajaan negeri pada 2018, dengan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu menjadi menteri besar ketika partinya masih menganggotai gabungan itu.
Faizal kemudiannya disingkirkan melalui undi percaya di DUN pada November 2020. Beliau tewas dengan 48 undi berbalas 10, dengan satu berkecuali, membawa kepada peletakan jawatannya.
Beliau kemudian digantikan oleh Saarani Mohamad daripada Umno sebagai menteri besar.
‘Surat aku janji BN’ : KJ dedah sesuatu yang mengejutkan
2 hari lagi penamaan calon, Johor dilanda banjir besar