Rafizi dedah bukti terbaru penglibatan Dr Latiff dan Zainab

Dari Rafizi Ramli
23 Ogos 2022

DR. LATIFF DAN ZAINAB MEMILIKI BERSAMA SUBKONTRAKTOR PROJEK PERTAHANAN NEGARA

(Bukti-bukti dokumen boleh diperolehi di https://rafiziramli.com/2022/08/dr-latiff-dan-zainab-memiliki-bersama-subkontraktor-projek-pertahanan-negara/)

Setelah saya menamakan Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan Zainab Mohd Salleh sebagai individu-individu yang terlibat dengan beberapa syarikat palsu (iaitu Alizes Marine Limited) yang menyeleweng sehingga RM210 juta dari projek LCS, satu-satunya reaksi dari Dr. Latiff Ahmad ialah penafian yang Zainab Mohd Salleh adalah isterinya.

Kenyataan Dr. Latiff Ahmad juga begitu umum dengan merujuk kepada satu berita yang tular:

“Merujuk kepada laporan berita yang tular berkaitan siasatan projek kapal tempur pesisir (LCS), saya menegaskan bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isteri saya seperti mana yang dinyatakan dalam berita tersebut.”

Saya mengucapkan tahniah kepada Dr. Latiff Ahmad kerana berjaya memutar kenyataannya untuk mengelirukan orang ramai. Rujukan kepada “berita yang tular” sudah tentu merujuk kepada kesilapan satu portal berita yang melaporkan kononnya Zainab Mohd Salleh yang terlibat di dalam projek LCS ini adalah Ketua Pegawai Kewangan Dialog Berhad (yang juga bernama Zainab Mohd Salleh).

Saya tergelak kerana besar kemungkinan Dr. Latiff Ahmad benar-benar ingat saya pun tersilap begitu juga.

Zainab Mohd Salleh yang memiliki Alizes Marine Limited adalah seorang individu lain.

Oleh kerana Dr. Latiff Ahmad cuba mengelirukan orang ramai mengenai identiti sebenar Zainab Mohd Salleh, saya sertakan nama penuh, kad pengenalan (baru dan lama), alamat dan gambar pengenalan Zainab Mohd Salled (LCS) mengikut carian rasmi, seperti berikut (rujuk “1”):

Seterusnya, saya juga mengesahkan kewujudan Zainab Mohd Salleh ini dengan menjejaki “digital footprint” di Facebook. Berikut ialah profil Zainab Mohd Salleh di Facebook (rujuk “2”):

Zainab Mohd Salleh juga ada digital footprint yang mengaitkannya dengan Dr. Latiff Ahmad.

Pada hari Dr. Latiff Ahmad mengangkat sumpah sebagai menteri di dalam kabinet Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, salah seorang dari yang mengucapkan tahniah di posting Facebook Dr. Latiff bertarikh 30 Ogos 2021 adalah Zainab Mohd. Salleh (rujuk “3”):

Masalah besar Dr. Latiff Ahmad bukanlah kerana Zainab Mohd. Salleh meninggalkan komen di Facebooknya.

Isu yang wajib dijawab oleh Dr. Latiff Ahmad (tetapi langsung tiada apa-apa maklum balas setakat ini) ialah pendedahan-pendedahan saya bahawa Zainab Mohd. Salleh adalah pemilik syarikat-syarikat palsu Alizes Marine Limited yang menyelewengkan dana dari projek LCS.

Apatah lagi apabila Laporan Forensik Projek LCS yang dinyahwarta semalam (dan kini boleh dibaca di laman Parlimen) secara terang telah menyatakan bahawa Zainab Mohd Salleh adalah isteri kepada Dr. Latiff Ahmad (rujuk “4”):

Jika bukti-bukti ini tidak memadai, saya sertakan satu lagi bukti besar yang menyokong penglibatan Dr. Latiff dalam skandal LCS melalui syarikat yang dimiliki bersama dengan Zainab Mohd. Salleh (yang dinyatakan sebagai isterinya).

Penipuan oleh Alizes Marine Limited melibatkan penggunaan nama syarikat lain di Perancis sedangkan invois dihantar dengan alamat yang berlainan. Laporan Forensik Projek LCS menyenaraikan alamat-alamat palsu yang digunakan di dalam invois-invois Alizes dan menamakan seorang rakyat Perancis bernama Thierry Georges Andre Barrier sebagai individu yang terlibat di dalam skim penipuan ini.

Dr. Latiff Ahmad menubuhkan sebuah syarikat bernama Mega P Asia Sdn Bhd (pendaftaran 1163389-W) pada 23 Oktober 2015 (rujuk “5A” dan “5B”).

Mega P Asia Sdn Bhd turut dinamakan di dalam Laporan Forensik Projek LCS sebagai salah sebuah syarikat berkait dengan Dr Latiff Ahmad yang mendapat laba dari projek-projek pertahanan laut negara.

Perenggan 3.16.13.4 muka surat 97 menyebut:

“….. It is also to be noted that Mega P Sdn Bhd is the company involved in supplying Chilean workers for millions of ringgit for submarine projects, and payments were released to them.”

“… Perlu diambil maklum bahawa Mega P Sdn Bhd juga terlibat membekalkan tenaga kerja dari Chile untuk projek-projek kapal selam (Scorpene) yang melibatkan jutaan ringgit, dan syarikat ini telah menerima bayaran.”

Mega P Asia Sdn Bhd ditubuhkan oleh Dr. Latiff Ahmad bersama-sama Thierry Barrier yang masing-masing memegang satu saham semasa penubuhan. Ini mengukuhkan dakwaan bahawa Dr. Latiff Ahmad terlibat di dalam skim penipuan menggunakan invois-invois palsu melibatkan Alizes Marine Limited, memandangkan invois-invois itu berkait dengan Thierry Barrier (seperti yang dilaporkan di dalam Laporan Forensik Projek LCS).

Hubung kait diantara Dr. Latiff Ahmad dengan Zainab Mohd Salleh diperkuatkan lagi apabila semakan pemilikan saham Mega P Asia Sdn Bhd menunjukkan Dr. Latiff Ahmad dan Zainab Mohd Salleh merupakan pemegang majoriti saham-saham syarikat itu.

Maklumat Borang 68 (perincian pemegang saham sesebuah syarikat) bagi tahun 2017 yang difailkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (rujuk “6A”) menunjukkan bahawa Dr. Latiff Ahmad memegang 105,002 saham dan Zainab Mohd Salleh memegang 245,000 saham di dalam Mega P Asia Sdn Bhd (rujuk “6B”).

Laporan kewangan Mega P Asia Sdn Bhd yang diaudit bagi tahun kewangan 2016 menunjukkan bahawa syarikat Mega P Asia Sdn Bhd (yang ditubuhkan Dr. Latiff Ahmad) dikawal oleh Zainab Mohd Salleh (rujuk “6C”).

Daripada semua maklumat ini, kita boleh simpulkan beberapa fakta:

1. Zainab Mohd Salleh yang memiliki syarikat-syarikat palsu Alizes Marine Limited adalah individu yang berlainan dari CFO Dialog.

2. Kenyataan Dr. Latiff Ahmad yang menafikan Zainab Mohd. Salleh bukan isterinya dilihat cuba mengelirukan orang ramai dengan memberi gambaran Zainab yang saya maksudkan dalam pendedahan saya adalah CFO Dialog.

3. Dr. Latiff Ahmad menubuhkan syarikat Mega P Asia Sdn Bhd yang menjadi subkontraktor projek-projek pertahanan laut negara dengan seorang rakyat Perancis bernama Thierry Barrier.

4. Thierry Barrier dinamakan di dalam Laporan Forensik Projek LCS sebagai salah seorang individu yang terlibat di dalam pemalsuan invois-invois Alizes Marine Limited menggunakan pelbagai alamat palsu di Perancis.

5. Pemegang-pemegang saham Mega P Asia Sdn Bhd adalah Dr. Latiff Ahmad dan Zainab Mohd Salleh.

6. Pemegang saham yang mengawal Alizes Marine Limited adalah Zainab Mohd Salleh.

7. Laporan Forensik Projek LCS menamakan Zainab Mohd Salleh sebagai isteri Dr. Latiff Ahmad.

Bukti-bukti ini sudah cukup untuk mengesahkan bahawa Zainab Mohd Salleh adalah isteri (kedua) Dr. Latiff Ahmad dan kedua-dua mereka terlibat di dalam Marine Alizes Limited yang dinamakan di dalam Laporan Forensik Projek LCS sebagai syarikat yang menyelewengkan sehingga RM210 juta dana dari projek LCS.

Jika benar Zainab Mohd Salleh bukan isteri (kedua) Dr. Latiff Ahmad seperti yang disebut di dalam Laporan Forensik Projek LCS, kenapa Dr. Latiff memberikan saham majoriti dan membenarkan Zainab Mohd Salleh mengawal Mega P Asia Sdn Bhd, syarikat yang ditubuhkannya dan mendapat kontrak bernilai jutaan ringgit dari projek-projek Kementerian Pertahanan?

RAFIZI RAMLI

Leave a Reply

Your email address will not be published.