Shahril letak jawatan Ketua Penerangan Umno, desak Zahid buat benda sama

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu berundur secara terhormat susulan kegagalan parti itu meraih kemenangan di banyak kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan, berkata biar kepemimpinan dan individu lain memimpin perbincangan membuat keputusan besar seterusnya untuk parti, termasuk bergabung dengan parti lain bagi membentuk kerajaan.

Katanya, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO perlu memutuskan gabungan mana yang mahu disertai untuk membentuk kerajaan, bukannya bersandar keputusan individu atau kelompok saja.

“Benar, ada konsep ‘collective responsibility’ dalam sesuatu kegagalan. Benar, UMNO perlu mempertimbang apa langkah seterusnya dalam situasi tiada pihak mencapai angka 112 (kerusi Parlimen) di PRU15. Benar, keputusan ini besar dan perlu dibuat oleh MKT, bukan mana-mana individu atau kelompok sahaja.

“Tetapi, sebelum parti hendak bincang atau buat apa-apa keputusan, ada satu perkara yang perlu dilaksanakan dahulu. Saya sependapat dengan Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi).

“Iaitu, tanpa mengurangkan hormat kepada beliau sebagai individu, saya berpandangan pemimpin nombor satu Presiden UMNO dan Pengerusi BN perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab kekalahan ini, berundur secara terhormat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga mengumumkan meletak jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO.

“Saya menghargai peluang yang telah diberikan dan tidak akan melupakannya. Cuma, ini soal maslahat yang jauh lebih besar. Seperti ramai yang lain, saya kekal setia bersama UMNO. Perjuangan parti belum selesai. ‘This is not the end’,” katanya.

Shahril yang juga calon di kerusi Parlimen Alor Gajah tewas pada PRU15 dalam persaingan empat penjuru apabila memperoleh 27,288 undi, di belakang Pengerusi Pakatan Harapan Melaka, Adly Zahari yang meraih 28,178 undi.

Dua lagi pencabar Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dari Perikatan Nasional (PN) memperoleh 17,211 undi dan Muhammad Nazriq Abdul Rahman (PEJUANG) 323 undi.

PKR akan failkan petisyen jika Muhyiddin menang di Pagoh, ada bukti kukuh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *