SU Agong Umno sahkan PRU-15 akan diadakan 2 bulan lagi

UMNO yakin Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan di antara Oktober hingga Disember ini, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad berkata, keyakinan disandarkan kepada ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam yang menyatakan pembubaran Parlimen akan dibuat sedikit masa lagi.

Katanya, bayangan diberikan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO semalam adalah petunjuk paling jelas mengenai PRU15 yang dimaklumkan secara umum dalam acara parti.

“UMNO yakin PRU15 akan berlangsung dalam tempoh tiga bulan ini (Oktober hingga Disember).

“Cuma kena cuba elak sebelum banjir. Jika banjir Disember, jangan buat (PRU15) Disember. November pun boleh pilihan raya.

“Kalau November pilihan raya, maknanya bubar (Parlimen) Oktober. Pengesahan Perdana Menteri dalam ucapan beliau semalam membolehkan parti membuat persiapan dan mencongak tarikh PRU15,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Sukan Peladang Sempena Hari Malaysia di Kampung Parit Baru, Ayer Baloi, di sini, hari ini.

Semalam, Ismail Sabri ketika melancarkan Jentera Pemuda UMNO, di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur,dilaporkan mengulangi pendirian dan janjinya untuk segera berbincang dengan ‘Top Five’ mengenai pembubaran Parlimen.

“Kita sudah hampir ke Pilihan Raya Umum ke-15…. percayalah sikit masa lagi. Saya mendengar dengan jelas (gesaan pembubaran),” kata Perdana Menteri semalam.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, mengesahkan pertemuan dan rundingan ‘Top Five’ UMNO yang dijadualkan pada 30 September ini akan diteruskan.

Katanya, walaupun ‘Top Five’ sering bertemu secara tidak rasmi serta tidak diumumkan secara terbuka di media, pertemuan pada 30 September itu akan diteruskan seperti sudah dirancang.

“Saya yakin ucapan Perdana Menteri semalam itu bertitik tolak dari pertemuan dan rundingan ‘Top Five’ secara tidak rasmi.

“Sebenarnya setiap kali sebelum Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, akan diadakan dahulu mesyuarat ‘Top Five’ diikuti mesyuarat Biro Politik UMNO pada sebelah petang.

“Itu tidak termasuk pertemuan tidak rasmi ‘Top 5’ di luar,” katanya.

‘Top Five’ UMNO merujuk kepada lima kepimpinan tertinggi parti terdiri daripada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri sendiri. – BH

Masih ingat wartawan lejen Karam Singh Walia? Ini keadaan terkini beliau buat semua terkejut

Leave a Reply

Your email address will not be published.