Surat Najib kepada keluarga ‘atas meja’ buat netizen sedih

“Setakat ini sahaja yang ‘daddy’ dapat bersama,” demikian antara pesanan terakhir dititipkan bekas perdana menteri, Najib Razak buat keluarganya.

Menerusi pesanan yang dikongsi di Facebooknya, Najib turut meluahkan kekesalan apabila beliau sentiasa tidak dapat bersama keluarganya kerana terikat tanggungjawab sebagai pemimpin selama 46 tahun berkhidmat.

“Perjalanan yang menggembirakan dengan kehadiran anda tetapi malangnya saya terlepas pandang dan tidak dapat sentiasa ada untuk anda.

“Satu perjalanan yang sedih sekali diserikan dengan kehadiranmu tetapi tidak terbalas oleh “daddy”,” menurut pesanan akhir yang ditinggalkan untuk keluarga.

Ungkapnya lagi, sebagai seseorang yang berpegang kepada ajaran Islam, beliau menerima dan tiada daya untuknya melawan takdir yang tertulis buatnya.

“Jika ditakdirkan ini perjalanannya dan dugaan Allah SWT, apalah daya daddy manusia dan hamba-Nya. Menanti keadilan dan penghakiman di mahkamah akhirat.

“Di dunia kita hidup sementara, dibangkitkan di akhirat, bersama-sama nanti kita bahagia semula di sana,” tulisnya.

Najib menjadi bekas perdana menteri pertama yang akan mula menjalani hukuman penjara, selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan ke atasnya dalam kes SRC International.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Leave a Reply

Your email address will not be published.