‘Tak perlu keliru status MN, pilih sahaja Umno’ – Khairuddin Takiri

Rakyat termasuk penyokong Umno dan PAS tidak perlu keliru dengan status Muafakat Nasional (MN) walau pemimpin utama dua parti itu saling serang-menyerang sejak kebelakangan ini, sehingga memberi gambaran gabungan itu sudah “terkubur”, kata Khairuddin Aman Razali.

Memetik dari FMT, jelas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu, rakyat khususnya pengundi Melayu Islam hanya perlu membulatkan tekad dengan memilih sama ada Umno atau PAS jika berlaku pertembungan dua parti itu dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15), dan secara tidak langsung mengelak berlakunya perpecahan undi.

“Biasalah bila ada serangan mesti ada pemimpin yang membalas serangan. Itu biasa, tetapi pemimpin lain mahu penyatuan maka mereka redakan keadaan.

“Maka tak perlu kita buat kata putus MN telah terkubur, setakat ini tak ada (pemimpin PAS-Umno yang berani isytihar)…selagi ada pimpinan yang sayangkan MN ia tidak akan terkubur,” katanya ketika wawancara bersama FMT.

Katanya, kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi jelas menunjukkan masing-masing masih sayangkan penyatuan.

“MN tak berkubur bagi saya, cuma ia perlu semangat untuk hidup. Mungkin selepas PRU ketika masing-masing (Umno-PAS) tak lagi panas, sudah dapat habuan masing-masing mereka boleh kembali bersama,” katanya.

Khairuddin berkata demikian mengulas serang-menyerang terbuka antara Hadi dan Zahid, termasuk apabila presiden Umno itu mengesyorkan presiden PAS menukar kerjaya kepada ahli zoologi susulan gelaran “itik patah kaki” kepada Umno.

Terbaru, Zahid menuduh presiden PAS takut kehilangan banyak kerusi jika pilihan raya dipercepatkan selepas Hadi menggelar pihak yang mahu mempercepatkan PRU15 sebagai kumpulan kemaruk kuasa.

Khairuddin berkata walaupun beliau tegas mahukan PAS dan Umno kekal bekerjasama dalam MN, ia tidak bermaksud Bersatu perlu disingkirkan dalam senarai kerjasama politik.

“Kita faham Umno tak mahu Bersatu, jadi PAS perlu menjadi orang tengah untuk menangani keadaan (menyatukan tiga parti PAS, Umno dan Bersatu bekerjasama),” katanya yang keluar PAS pada 14 Mac susulan dipecat sebagai setiausaha Majlis Syura Ulama PAS dan Ahli Jawatankuasa (AJK) pusat.

Katanya, jika PAS meninggalkan Umno untuk bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) ia tidak membawa sebarang keuntungan, seperti terbukti ketika gabungan itu tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

“Pandangan saya, merugikan (tinggalkan Umno) kerjasama dengan Bersatu, tetapi saya kena berkecuali juga…itu hak PAS, dan hak presiden PAS untuk berijtihad dengan cara dia,” katanya.

Katanya, walaupun silap strategi Hadi dan PAS ketika bekerjasama dengan Bersatu melalui PN apabila akhirnya tewas di Melaka dan Johor, pendekatan itu mungkin berhasil pada masa akan datang sesuai dengan situasi ketika itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.