“Tak perlu ubahsuai pejabat PM, kereta pakai mana yang ada” – Anwar

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata tiada pembelian kereta rasmi baharu untuk kegunaannya dan sebarang ubah suai pejabatnya.

Anwar berkata, pembaziran akan dielakkan bawah pentadbirannya dan memaklumkan langkah itu sebagai mesej kepada ketua jabatan kerajaan yang lain untuk melakukan penjimatan.

Beliau yang ditemui selepas majlis kesyukuran di Masjid Ashabus Solihin, Sungai Long, berkata langkah itu adalah budaya baharu yang ingin dibawanya.

“Ini sebagai mesej kepada semua pimpinan jabatan yang lain supaya ingat dalam keadaan sekarang kita patut mulakan budaya baharu.

“Jangan gunakan wang kerajaan untuk kemudahan kita,” katanya.

Anwar berkata, setiap wang kerajaan akan digunakan sebaiknya bagi mengelakkan pembaziran yang sering berlaku pada pentadbiran sebelum ini.

“Fikirkan yang boleh jimat RM100, RM1,000, RM10,000…itu boleh dipulangkan kepada rakyat yang susah.

“Saya mulakan dari situ selain daripada tak ambil gaji tetapi apa yang penting jangan bazir,” katanya.

Anwar sebelum ini mengumumkan beliau menolak gaji perdana menteri dan hanya akan menerima elaun Ahli Parlimen.

Sementara itu, Anwar memaklumkan satu mesyuarat bersama jabatan dan agensi kerajaan mengenai kos sara hidup akan diadakan di Putrajaya esok.

“Mesyuarat esok akan memberi tumpuan kepada tindakan yang boleh menyelesaikan masalah ini dalam kadar segera dan jangka masa panjang,” katanya.

MT UMNO sokong Zahid jadi TPM, bukan Tok Mat

Terkini: Pemimpin Umno dan PAS bertemu lagi, akan runtuhkan kerajaan Anwar?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *