Tarik diri bela Najib, Zaid Ibrahim cerita perkara sebenar

Firma Guaman Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners, yang mewakili Datuk Seri Najib Razak, menafikan dakwaan akan menarik diri daripada mewakili bekas Perdana Menteri itu, jika Mahkamah Persekutuan akan terus mendengar rayuan kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd, Isnin ini.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim, dalam kenyataannya, berkata firma beliau tidak akan meninggalkan anak guamnya .

Katanya, firma guamannya bersetuju mengambil kes itu kerana Najib mempunyai rungutan yang sah berhubung sabitannya, khususnya mengenai perkara berkaitan dengan kedaulatan undang-undang dan undang-undang yang berkaitan dengan berat sebelah dan konflik kepentingan.

“Sebagai peguam, adalah menjadi tugas kami untuk mewakili kes anak guam dengan sebaiknya.

“Jangkaan sah Najib adalah beliau akan mendapat perbicaraan penuh dan adil di Mahkamah Persekutuan. Oleh itu, tugas kami sebagai peguam bela adalah untuk membolehkan proses itu,” katanya.

Bagaimanapun, dalam berbuat demikian, beliau kesal serangan keji yang dilemparkan kepadanya secara peribadi dan firma guamannya.

Beliau merujuk kepada sindiran Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin, yang menyatakan peguam mengambil kes di saat-saat akhirnya adalah bermotifkan wang.

Katanya, satu lagi kritikan yang dilemparkan terhadap Najib dan firma guaman beliau adalah pelantikan itu satu cubaan untuk melengahkan rayuan.

“Jawapan kepada perkara itu adalah saya menyuruh pengkritik untuk membandingkan kes ini dengan kes berprofil tinggi yang lain.

“Tidak dapat dinafikan bahawa kes ini mengambil masa yang kurang untuk sampai ke tahap ini. Pengkritik yang angkuh akan tahu kes siapa yang saya maksudkan,” katanya.

Tambahnya, ini adalah kali pertama Najib menukar pasukan pembelaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.