“Terima teguran, jangan provokasi”, KPPA ingatkan penjawat awam

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Mohd Shafiq Abdullah mengingatkan kakitangan awam bahawa mereka tidak seharusnya bertindak balas melakukan provokasi terhadap teguran orang awam, penyelia, rakan sejawat atau pegawai atasan berhubung penyampaian perkhidmatan yang kurang memuaskan.

Menerusi satu edaran bertarikh 8 Ogos yang juga dimuatnaikkan di Facebook JPA, dia berkata provokasi melampau bagi meraih perhatian umum atau dijadikan bahan viral, boleh disifatkan sebagai tindakan tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan budaya kerja pegawai awam.

“Setiap pegawai awam perlu sentiasa bersikap positif apabila menerima pandangan, cadangan atau teguran daripada mana-mana pihak berkepentingan, termasuk pegawai atasan, dalam usaha memperbaiki dan mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan awam.

“Seorang pegawai awam juga hendaklah menunjukkan sikap yang responsif terhadap maklum balas dan aduan daripada pelanggan perkhidmatan awam,” katanya.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama atau insiden, adalah jelas, Mohd Shafiq merujuk kepada kejadian pada 3 Ogos lalu antara dirinya dengan beberapa pegawai Jabatan Imigresen, termasuk ketua operasinya James Lee, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mohd Shafiq mendakwa mereka melanggar prosedur pemeriksaan dan tidak menyemak dokumen perjalanannya dan delegasinya sebelum mereka berlepas ke luar negara. Sebaliknya, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM), Khiril Niza Khairuddin mendakwa Mohd Shafiq berang kerana tidak diberikan layanan VVIP.

Mohd Shafiq dalam suratnya juga mengingatkan semua pegawai awam bahawa jawatan dan kedudukan yang sedang disandang adalah amanah yang perlu dilaksanakan untuk kepentingan negara.

“Maka, seorang pegawai awam hendaklah melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan jujur, cekap dan amanah sebagai satu usaha berterusan untuk memartabatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.

Dia juga berkata, KPPA adalah antara jawatan khas yang diperuntukkan bawah Fasal 3 Perkara 144 Perlembagaan Persekutuan, yang mempunyai fungsi utama menjalankan tanggungjawab berkaitan penggubalan dasar berkaitan kelayakan pelantikan dan syarat perkhidmatan awam bagi anggota perkhidmatan awam yang ditakrifkan bawah Fasal (1) Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, KPPA sebagai pegawai tertinggi di JPA bukan saja bertanggungjawab ke atas jabatan ini, tetapi termasuk juga ke atas perkhidmatan awam sebagaimana yang termaktub bawah perlembagaan persekutuan, undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkuatkuasa.

“Justeru, KPPA sudah semestinya bertanggungjawab untuk memberikan pandangan atau teguran bagi meningkatkan kualiti dan pematuhan peraturan dalam sistem penyampaian perkhidmatan sektor awam di negara ini,” katanya.

Mohd Shafiq turut mengingatkan dalam surat edaran itu bahawa pegawai awam perlu berkelakuan baik serta tidak membuat sebarang pernyataan awam yang boleh memberi implikasi kepada nama baik perkhidmatan awam dan kerajaan.

Katanya, mereka juga tidak sepatutnya menyebarkan berita palsu, membuat tohmahan atau fitnah membabitkan pegawai awam lain hingga membelakangi tugas awam.

Pegawai awam juga katanya, dilarang menyalahgunakan hak kebebasan bersuara dan kecanggihan teknologi untuk mencapai agenda peribadi sehingga melanggar peraturan dan undang-undang berkuatkuasa yang menjadi asas perkhidmatan awam negara.

“JPA tidak boleh dan tidak akan berdiam diri dengan membiarkan mana-mana pegawai awam difitnah dan diperlakukan secara tidak adil oleh mana-mana pihak lain yang bertujuan mencapai agenda peribadi yang tidak baik,” katanya.

Susulan kejadian itu, kabinet pada 6 Ogos lalu mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Mohd Zuki Ali untuk menubuhkan jawatankuasa di peringkat dalaman bagi menyiasat insiden tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published.