Terkini: MB Perlis dan isteri sah bercerai

Menteri Besar Perlis Azlan Man dan Sova Ali, hari ini, sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat di sini, selepas melayari bahtera perkahwinan selama 12 tahun.

Peguam Syarie Nurul Atikah Abd Rashid yang mewakili Azlan selaku defendan, berkata Hakim Syarie Abdullah Zuhdee Ab Halim mengesahkan perceraian tersebut, pada prosiding yang berlangsung secara tertutup.

“Hakim mengesahkan lafaz cerai itu mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, selepas berpuas hati dengan keterangan pihak-pihak berhubung perceraian yang dilafazkan defendan di Jakarta, Indonesia pada 23 Apr lalu,” katanya ketika ditemui pemberita.

Berdasarkan Seksyen 57, seseorang yang telah menceraikan isterinya dengan lafaz talak di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah, hendaklah melaporkan kepada mahkamah dalam masa tujuh hari dari pelafazan talak itu.

Sementara itu, Peguam Syarie Muhammad Syafiq Ibrahim yang mewakili Sova selaku plaintif, berkata anak guamnya memfailkan saman berhubung pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah, pada 3 Jun lalu.

“Setakat ini tiada apa-apa tuntutan berkenaan nafkah, harta sepencarian dan sebagainya. Saya masih menunggu arahan anak guam,” katanya dan menambah saman itu difailkan di mahkamah di sini kerana anak guamnya bermastautin di Bangi.

Prosiding pengesahan perceraian itu sepatutnya berlangsung pada 4 Jul, namun ditangguhkan ke hari ini kerana Ahli Dewan Undangan Negeri Bintong itu tidak hadir atas urusan kerja yang tidak dapat dielakkan.

Azlan, 63, dan Sova, 40, warganegara Indonesia berkahwin pada 21 Mac 2010 di Perlis, namun tidak dikurniakan cahaya mata.

Leave a Reply

Your email address will not be published.