Pejabat Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) di Menara Integra, Kuala Lumpur digemparkan dengan ancaman bom petang ini.
Ketua Polis Wangsa Maju, Ashari Abu Samah memberitahu FMT, pihaknya mengarahkan pemindahan dilakukan selepas menerima panggilan mengenai bom yang dipasang di pejabat KWAP.
“Itu panggilan palsu,” kata Ashari.
“Skuad bom menggeledah tingkat 35 dan 36 bangunan itu dan tidak menemui apa-apa.”
Beliau berkata, tiada sesiapa dibenarkan masuk ke menara itu selama kira-kira tiga jam.
Menara Integra setinggi 40 tingkat adalah sebahagian daripada The Intermark, sebuah pembangunan bercampur terletak di laluan sibuk Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak yang menempatkan pusat beli-belah dan hotel.
KWAP adalah salah satu penyewa utamanya.