Tragis raya korban, lelaki dari T’ganu maut tercekik tulang ketika hirup sup tulang

Tragis raya korban, lelaki dari T’ganu maut tercekik tulang ketika hirup sup tulang. Seorang lelaki meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas dipercayai tercekik makanan ketika menikmati hidangan sup tulang di rumahnya di Kampung Alor Selising, Jertih, di sini, semalam.

Kakak mangsa, Wan Suria Wan Ishak, 32, berkata, ketika kejadian adiknya, Wan Azlan, 28, yang bekerja sebagai kerani kedai perkakasan baru pulang ke rumah dari tempat kerjanya kira-kira 5.15 petang.

Katanya, ketika kejadian dia kebetulan berada di rumah berkenaan bersama kedua orang tua mereka.

“Jika diikutkan sebelum ini dia tidak pernah makan singgang daging lembu, lauk kegemarannya adalah ayam dan dia juga tidak makan ikan kerana trauma pernah tercekik tulang ikan.

“Semasa mengemas dapur, dia makan daging singgang lalu tercekik daging, mungkin disebabkan lapar baru balik kerja dia terus menelan saja daging itu walaupun uratnya sedikit liat susah hancur,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Suria berkata, adiknya sempat meronta-ronta meminta tolong daripada ibu memaklumkan dia tercekik serta sukar untuk bernafas.

“Pada masa itu saya juga cuba membantu arwah tetapi tidak berjaya namun sempat meminta arwah mengucap sebelum dia tidak sedarkan diri.

“Arwah kemudian dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Besut sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 5.50 petang,” katanya.

Suria berkata, arwah adiknya amat rapat dengan ahli keluarga serta disenangi oleh semua kenalan kerana seorang yang peramah, suka tersenyum serta suka membantu sesiapa sahaja.

“Kehilangannya amat dirasai kerana pergi secara mengejut namun kami reda dengan pemergiannya pada hari raya ketiga Aidiladha.

“Mungkin naluri seorang ibu pada raya kedua Aidiladha secara tiba-tiba dia berkata jika Lan tiada pasti mereka sukar untuk melakukan aktiviti seharian kerana dia banyak membantu memudahkan urusan keluarga,” katanya.

Katanya, arwah selamat dikebumikan kira-kira 12 malam tadi di Tanah Perkuburan Kampung Padang Landak.

baca :

Pengurus Bank hilang RM605,000, kena tipu dengan scammer

Edisi Siasat dedah senarai harta yang dimiliki oleh Taib Mahmud

Pengurus Bank hilang RM605,000, kena tipu dengan scammer

Leave a Reply

Your email address will not be published.