Tular sebuah video yang menyaksikan sebuah kereta jenis Honda Civic berwarna putih dikejar oleh kenderaan polis peronda pada semalam.
Menurut satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, Polis Langkawi menjelaskan bahawa anggota polis peronda yang menjalankan rondaan pada ketika itu melihat kelibat kenderaan berkenaan sekitar jam 10 malam.
Difahamkan, pengadu cuba mengarahkan pemandu Honda Civic tersebut untuk berhenti, namun ia enggan memberikan kerjasama.
Menurut kenyataan, pemandu Honda Civic terbabit sebaliknya bertindak memecut laju menghala ke Kampung Padang Lalang, Kuah sebelum membuat pusingan di sekitar sana dan akhirnya berjaya meloloskan diri.
Bagaimanapun, kenderaan tersebut kemudiannya dikesan di hadapan sebuah sekolah di Kisap tanpa pemandu sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Langkawi untuk pemeriksaan lanjut.
“Semakan awal mendapati pemilik berdaftar kenderaan tersebut yang beralamat di Kulim telah menjualkan kereta tersebut tetapi belum menukar nama.
“Pembeli terbaru kereta tersebut pula telah ditahan oleh pihak polis IPD Langkawi pada 17/07/2022 dan sedang disiasat di bawah Seksyen 39A(2) dan 15(1)(a) ADB 1952,” jelas kenyataan itu.
Sehingga kini, pihak polis sedang giat mengesan pemandu Honda Civic terbabit dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Facebook Polis Langkawi turut memuat naik video klip kiriman orang awam yang memaparkan rakaman aksi kejar-mengejar Honda Civic tersebut bersama polis peronda.
baca :
Pakar bius rogol pesakit selepas dibius
‘Rupanya dah selalu ‘jadi’ tapi… ‘, isteri pegawai RAMD 21 bongkar cerita sebenar