DUA orang lelaki dipercayai bapa kepada pelajar sekolah dilihat saling bertumbuk dalam satu pergaduhan yang berlaku berhampiran sebuah sekolah rendah di Sri Gombak 2, Batu Cave, Selangor pada Jumaat.
Kejadian tersebut yang berlaku di sebuah jalan raya berhampiran sekolah itu terjadi ketika kedua lelaki berkenaan dikatakan dalam perjalanan pulang selepas mengambil kad laporan pelajar anak masing-masing.
Dipercayai, pergaduhan itu tercetus apabila kedua buah kenderaan itu bertembung di laluan yang sempit dan menyebabkan seorang pemandu mula hilang sabar selepas dia dilemparkan kata-kata cacian oleh seorang lagi individu.
Insiden itu dimuat naik di laman Twitter dan hangat diperkatakan netizen sejak Sabtu.
Meskipun dibantu beberapa orang awam lain, lelaki berbaju coklat dikatakan mula bertindak biadab apabila melemparkan kata-kata kesat kepada pemandu tersebut.
Geram dengan cacian dilemparkan, pemandu kereta berwarna putih itu kemudiannya bertindak menerkam lelaki berkenaan sebelum kedua-duanya bertumbuk di hadapan sekolah terbabit.
Orang ramai yang berada di situ cuba untuk menghentikan pergaduhan itu, namun ia dilihat semakin meruncing apabila kedua-duanya saling berbalah dan menengking satu sama lain.
Menerima lebih 2,000 tontonan, netizen turut meninggalkan kecaman dan pendapat berhubung isu tersebut.
Seorang netizen, Zahidah berkata, perkara itu boleh diselesaikan dengan cara baik dan sepatutnya tidak berakhir dengan pergaduhan.
“Insiden itu boleh diselesaikan dengan cara baik kalau lelaki itu tidak mencarut, kenapa nak marah sedangkan jalan memang sempit dan kebetulan pula ada orang lain yang tolong,” katanya.
“Yang bersalah dalam hal ini sebenarnya pemandu yang meletakkan kereta di kiri dan kanan jalan itu, sebab mereka jalan jadi sempit,” jelas anuar yahya.
“Contoh terbaik buat anak-anak di sekolah, benda boleh bincang buat apa nak gaduh,” tambah k.h yon.
Pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah Gombak masih belum mengeluarkan sebarang maklumat lanjut berkenaan isu terbabit setakat ini.
Belum ada sebarang kenyataan rasmi pihak berkuasa berhubung insiden itu dan sama ada repot polis sudah dibuat atau tidak juga masih dalam siasatan. — Majoriti
Konsert buat di depan masjid di Kedah undang kecaman orang ramai
Ferrari RM13 Juta berkecai dilenjan penghantar kereta, tak sempat owner rasa