Walaupun dipenjara, Najib bakal ke mahkamah lagi, ada 4 kes mahkamah menanti

Setelah selesai prosiding mahkamah melibatkan kes menyeleweng Syarikat SRC International Sdn Bhd, Datuk Seri Najib Tun Razak masih berdepan empat lagi kes di Mahkamah Tinggi dengan dua daripadanya masih dalam proses perbicaraan.

Kes itu membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan salah guna kuasa untuk meminda laporan audit 1MDB.

Najib juga berdepan dua kes yang masih belum dibicarakan iaitu pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC sebanyak RM27 juta.

Selepas dua hari Ahli Parlime Pekan itu dimasukkan ke penjara atas kesalahan menyeleweng dana SRC, media sekali lagi akan memberi tumpuan terhadapnya kerana dijangka hadir ke Mahkamah Tinggi pada Khamis untuk pengurusan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion 1MDB.

Di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, Najib menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) jumlah yang sama.

Bagi kes rasuah, Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan kes AMLA, Najib didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Setakat ini, seramai 25 saksi dipanggil untuk memberi keterangan dengan saksi terbaharu iaitu bekas Pengurus Kanan Jabatan Jualan Pertukaran Mata Wang Asing Ambank, Rosliza Ishak.

Najib dijangka hadir ke mahkamah sama untuk menghadapi perbicaraan kes meminda laporan audit 1MDB, yang akan didengar oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Bagi pertuduhan ini, Najib didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu untuk mendapat kekebalan daripada tindakan undang-undang.

Tindakan itu menyebabkan laporan akhir audit 1MDB dipinda sebelum dibentang dalam mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Mac 2016.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy pula didakwa bersubahat dalam membuat pindaan itu bagi melindungi Najib daripada tindakan tata tertib, sivil atau jenayah.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 dan dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Selain itu, mahkamah telah menetapkan beberapa tarikh lain iaitu 2 September serta 21, 25 dan 28 Oktober untuk meneruskan perbicaraan.

Pada 14 Jun lalu, Arul Kanda menyatakan kesediaannya untuk menjadi saksi pendakwaan dalam kes tersebut.

Bagaimanapun, pada hari sama, peguamnya, N Sivananthan menyatakan kekesalannya berhubung laporan berita tertentu.

Ini kerana beberapa tajuk berita seolah-olah menggambarkan Arul Kanda gembira untuk menjadi saksi pendakwaan terhadap Najib.

Pada 24 Jun pula, mahkamah telah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil Arul Kanda sebagai saksi dalam perbicaraan kes berkenaan.

Ia pastinya menarik, memandangkan Arul Kanda merupakan tertuduh yang didakwa bersama Najib.

Sementara kes ketiga, Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berdepan enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada IPIC.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kes itu dijadualkan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dan pendakwaan dijangka mahu memanggil sehingga 70 saksi untuk memberikan keterangan.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 1 hingga 4 April dan 8 hingga 11 April serta sepanjang Mei tahun depan bagi tarikh perbicaraan.

Bagaimanapun selepas lebih tiga tahun, mereka membuat permohonan supaya dilepaskan tanpa dibebaskan dengan alasan pertuduhan itu sudah tergantung tanpa sebarang perbicaraan.

Mahkamah menolak permohonan itu dengan alasan pendakwaan dalam kes itu bersedia dengan pertuduhan.

Bagi kes keempat pula, Najib berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC sebanyak RM27 juta yang mana sebelum ini dijadualkan didengar oleh Mohamed Zaini.

Najib didakwa menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya.

Ahli politik itu dituduh mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sehingga kini, perbicaraan kes itu belum bermula kerana pihak pendakwaan dan pembelaan memohon ia ditangguhkan selepas keputusan rayuan kes menyeleweng dana SRC sebanyak RM42 juta di Mahkamah Persekutuan Putrajaya, diketahui.

Leave a Reply

Your email address will not be published.